GEORGE TOWN – Terletak di pesisir pantai, kerja-kerja pembinaan bumbung bagi gelanggang futsal di Jeti Tan sedia ada dekat Pengkalan Weld telah bermula dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 Julai depan.
Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying, memperuntuk sebanyak RM400,000 bagi projek tersebut, manakala baki RM106,688 dibiayai oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Sambil merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak atas sumbangan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng berkata, pihaknya berharap komuniti setempat, khususnya golongan belia, dapat terus diperkasakan.
“Jarang terdapat gelanggang futsal yang terletak berhampiran pesisir pantai, menjadikan gelanggang di sini begitu istimewa dari sudut geografi.
“Kadangkala gelanggang ini bukan sahaja menjadi tempat komuniti setempat beriadah, malah turut digunakan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Justeru, pemasangan bumbung amat diperlukan supaya kawasan ini lebih teduh dan sesuai untuk pelbagai aktiviti, khususnya dalam usaha memperkasa golongan belia setempat,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 1 Mac 2026.


Ketika ditanya pemberita, Hui Ying berkata, skop kerja projek penaiktarafan tersebut merangkumi kajian tanah, pemetaan utiliti tapak, kerja pengukuhan tanah, pembinaan asas tiang, pembinaan kerangka bumbung, kemasan bumbung serta kerja-kerja pendawaian elektrik.
“Saya percaya projek penaiktarafan ini merupakan satu pelaburan modal bagi meningkatkan kualiti hidup komuniti serta pelaburan jangka panjang,” katanya lagi.

Arkitek Jabatan Kawalan Bangunan MBPP, Muhammad Hilmi Mohamed Pauzi memberitahu bahawa projek pembinaan bumbung itu mengambil kira saiz gelanggang sedia ada iaitu 25 meter (m) x 17.5 meter, yang memenuhi piawaian Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi gelanggang domestik.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Kota, Chan Kim Keat, turut menyertai sidang media tersebut.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Pengkalan City Futsal Club, Abdullah Abdul Rahman berkata, faktor cuaca panas atau hujan tidak lagi menjadi penghalang utama sesi latihan selepas projek penaiktarafan gelanggang itu siap kelak.
“Selain itu, dengan adanya bumbung, risiko bola ditendang melencong ke kawasan perairan dan sukar diambil semula ketika air laut pasang mungkin tidak lagi menjadi kebimbangan,” jelasnya.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB