Tuah pembayar cukai taksiran, MPPP alu bayaran awal

Admin

GEORGE TOWN – Para pembayar cukai taksiran bagi bahagian pulau kini juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah cabutan bertuah sekiranya membuat bayaran keseluruhan cukai dan tunggakan pada tempoh ditetapkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Menurut Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail, inisiatif julung kali diadakan ini adalah bagi menggalakkan orang ramai menjelaskan cukai taksiran masing-masing dalam tempoh ditetapkan setiap tahun.

“Kini, warga Pulau Pinang (bahagian pulau) yang membuat bayaran cukai taksiran mengikut jadual akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah cabutan bertuah ditawarkan pihak Majlis (MPPP).

“Malah, saya juga mengalu-alukan individu yang ingin membayar cukai untuk setahun terus,” serunya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah MPPP Tahun 2014 di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Perbandaran, Ir. Ang Aing Tye dan Ahli-ahli Majlis MPPP.

Sejumlah 120 hadiah ditawarkan termasuk telefon pintar, Samsung Galaxy Note 3, IPad Air, Ipad Mini, kamera Olympus, televisyen Samsung LED, televisyen Toshiba LED, basikal Mountain Bike dan pelbagai barangan elektrik harian.

Dalam pada itu, Patahiyah turut meminta orang ramai membuat pembayaran awal setiap tahun bagi melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah tersebut.

Tambahnya, bagi kali ini, sebanyak 19,750 akaun dengan jumlah bayaran RM7,143,642.86 layak untuk menyertai penganjuran cabutan bertuah kali ini.

“Cukai taksiran merupakan tanggungjawab setiap pemilik premis di bawah kerajaan tempatan dan merupakan hasil utama Majlis.

“Melalui bayaran cukai taksiran ini jugalah, pihak Majlis dapat menjayakan pelbagai projek ke arah kesejahteraan penduduk di Pulau Pinang,” ujar beliau.

Untuk keterangan lanjut, sila layari laman sesawang www.mppp.gov.my atau hubungi 04 – 259 2178 / 04 – 259 2342 dan 04 – 259 2341.