Kontraktor binaan perlu patuhi syarat PBT

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU BETONG – Semua kontraktor binaan terutama di tanah-tanah persendirian mesti mematuhi syaratsyarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) berwajib.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ahmad Razaaim Azimi berkata, semua kontraktor binaan khususnya di tanah-tanah persendirian perlu mematuhi semua syarat yang telah dipersetujui bersama bagi memastikan kelancaran projek pembinaan dijalankan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi pemantauan di salah sebuah tapak binaan dekat tanah persendirian berdekatan Jalan Tun Sardon yang dipercayai telah melanggar syarat dipersetujui.

“Bagi pihak Majlis (MBPP), kami akan sentiasa mengadakan pemantauan untuk pastikan kontraktor mematuhi syaratsyarat yang telah dipersetujui sebelum memulakan sebarang kerja-kerja binaan.

“(Dan) di sini kita dapat lihat bahawa kontraktor ini telah melewati sempadan binaan, dan dipercayai telah memotong besi pembahagi jalan di sini.

“Difahamkan, pihak MBPP juga telah mengeluarkan notis pemberhentian kerja pada bulan Mei lalu, namun malangnya, hasil pemantauan lanjut, kontraktor terbabit didapati masih menjalankan kerjakerja binaan dan ini bukan sahaja salah, malah mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya di sini,” ujarnya yang turut ditemani rakan sepenjawat, Gooi Seong Kin.

Tambah Ahmad Razaaim, pihak MBPP kini masih menunggu arahan selanjutnya daripada mahkamah, dan sekiranya kontraktor tersebut didapati bersalah atau melanggar mana-mana syarat yang dipersetujui, mereka boleh dipenjara dan denda maksimum sehingga RM50,000.

“Hantar pelan cadangan projek dan buat permohonan menggunakan saluran yang betul, bukannya melakukan kerja secara tidak sah. “Bukan Kerajaan Negeri dan MBPP tidak laksanakan tugas, tetapi ada dalam kalangan kontraktor yang dipercayai telah melakukan kerja-kerja binaan secara tidak sah.

“(Dan) seperti yang saya katakan tadi, jika disabitkan kesalahan, kontraktor terbabit perlu bertanggungjawab,” tegasnya yang turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MBPP ‘lepas tangan’.

Dalam pada itu, Seong Kin yang ditemui turut bersetuju dengan Ahmad Razaaim bahawa pihak kontraktor perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan.

“Tidak tahu, bukannya alasan yang wajar apabila kontraktor tersebut disabitkan kesalahan.

“Sepatutnya selaku kontraktor binaan, segala syarat-syarat dan undang-undang telahpun sedia maklum.

“(Dan) pihak MBPP memandang serius kes-kes sebegini,” tegasnya.

Turut sama pada sesi pemantauan tersebut, wakil Jabatan Kejuruteraan MBPP.

Difahamkan kontraktor terbabit kini disiasat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 113), Seksyen 70A iaitu kerja tanah termasuklah mengorek, meratakan, menimbus, menanam cerucuk, membina asas, menebang pokok atas mana-mana tanah atau perbuatan menggangu tanah.

Jika disabitkan kesalahan, denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.