Tukar sampah kepada nilai, Trash for Cash pacu budaya kitar semula

img 20260923 wa0067

SESUATU yang sebelum ini dianggap sampah, kini mampu ditukar menjadi nilai di bawah inisiatif Trash for Cash yang dilaksanakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kawasan Jelutong menerusi penggunaan tong kitar semula pintar.

Inisiatif berkenaan bukan sekadar menyediakan kemudahan untuk komuniti mengasingkan sisa, malah menjadi antara pendekatan pada peringkat akar umbi dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman, berkata konsep berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat bahan kitar semula daripada perspektif berbeza, bukan lagi sekadar barangan terbuang, tetapi sesuatu yang mempunyai nilai.

img 20260923 wa0060
Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut beliau, inisiatif yang dibekalkan oleh GRN Industries itu turut menggabungkan elemen teknologi pintar bagi memudahkan proses kutipan, penimbangan dan pembayaran kepada pengguna.

“Tujuan utama inisiatif ini bukanlah untuk mendapatkan keuntungan besar, sebaliknya memberi manfaat kepada komuniti, khususnya dalam memudahkan pengasingan sisa serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kitar semula.

“Pada masa sama, usaha ini dapat membantu mengurangkan jumlah sampah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan,” katanya dalam wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara SUNARTI YUSOFF dan jurugambar MUHAMAD IQBAL HAMDAN di pejabat beliau dekat sini sebentar tadi.

Sampah ditimbang, bayaran terus ke e-wallet

Menurut Abdul Razak, proses menggunakan tong kitar semula pintar itu turut direka supaya mudah dan mesra pengguna.

Katanya, pengguna hanya perlu membuat imbasan, memasukkan nombor telefon sebelum menimbang sendiri barangan kitar semula yang hendak dimasukkan ke dalam mesin.

Bayaran kemudiannya dibuat menerusi e-wallet, dengan hasil jualan dikreditkan oleh GRN Industries dalam tempoh beberapa hari.

“GRN Industries merupakan pihak yang memiliki atau menyelia mesin ini.

“Mereka juga yang akan mengutip serta memproses bahan kitar semula dan pada setiap bulan turut menyediakan laporan berat serta data beratan kutipan kepada MBPP.

“Sekiranya berlaku kerosakan pada mesin, pihak syarikat juga bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembaikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, jawatankuasa setempat seperti JPKKP, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau pihak pengurusan bersama (JMB) memainkan peranan penting dalam memantau serta memastikan kemudahan berkenaan berada dalam keadaan baik.

Lokasi penempatan pula ditentukan selepas melalui proses lawatan dan kelulusan MBPP bagi memastikan kemudahan tersebut benar-benar sesuai serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

img 20260923 wa0051

16 lokasi sudah beroperasi

Abdul Razak berkata, sehingga kini sekitar 15 hingga 16 lokasi di kawasan Jelutong telah dilengkapi kemudahan tong kitar semula pintar berkenaan.

Lebih menarik, teknologi yang digunakan bukan sekadar sebuah tong pengumpulan biasa, sebaliknya dilengkapi sistem pintar termasuk aplikasi, kamera litar tertutup (CCTV), sistem penimbangan serta integrasi e-wallet.

Projek yang dilaksanakan di bawah program Sejati Madani itu dianggarkan bernilai kira-kira RM80,000, termasuk pemasangan sistem solar dan teknologi pintar yang digunakan.

“Teknologi ini membolehkan data kutipan direkodkan dengan lebih teratur dan pada masa sama memberikan kemudahan kepada pengguna.

“Namun begitu, aspek paling penting ialah bagaimana kemudahan ini dapat digunakan secara betul oleh masyarakat,” katanya.

img 20260923 wa0056

Salah guna masih cabaran

Walau bagaimanapun, Abdul Razak mengakui inisiatif berkenaan masih berdepan beberapa cabaran, termasuk sikap segelintir pengguna yang memasukkan sisa tidak sepatutnya ke dalam mesin.

Menurut beliau, sambutan masyarakat menunjukkan peningkatan selepas promosi dilakukan oleh MBPP, namun usaha pendidikan dan penerangan perlu diteruskan bagi memastikan orang ramai benar-benar memahami konsep pengasingan sisa.

“Masih ada yang salah guna dengan memasukkan sampah yang bukan bahan kitar semula.

“Jadi, promosi dan pendidikan kepada masyarakat perlu diteruskan.

“Selain itu, ada lokasi yang didapati kurang sesuai dan telah dipindahkan berdasarkan nasihat MBPP supaya penggunaannya lebih optimum,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kewujudan pengumpul atau lori lain yang menawarkan harga berbeza bagi bahan kitar semula turut mempengaruhi tingkah laku pengguna.

Keadaan itu menyebabkan sesetengah masyarakat memilih untuk menyimpan bahan kitar semula bagi dijual kepada pihak lain yang menawarkan harga lebih tinggi.

 

Komisen kecil, manfaat komuniti lebih besar

Mengulas peranan JPKKP, Abdul Razak berkata jawatankuasa berkenaan hanya menerima komisen kecil kerana tanggungjawab utamanya adalah sebagai pengurus lokasi, bukannya mengejar keuntungan.

Sebaliknya, nilai sebenar inisiatif berkenaan, katanya, terletak pada manfaat yang dapat dikembalikan kepada komuniti melalui peningkatan kesedaran, pengurangan sisa dan persekitaran yang lebih bersih.

“Program ini bukan semata-mata soal berapa banyak keuntungan yang diperoleh, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana kita mengubah cara masyarakat melihat sampah dan amalan kitar semula.

“Kalau masyarakat mula mengasingkan sisa dari rumah dan membawa bahan kitar semula ke tempat yang betul, itu sendiri sudah menjadi satu kejayaan,” katanya.

Komuniti perlu jadi penggerak

Abdul Razak berharap program Trash for Cash dapat terus diperkasakan menerusi promosi berterusan serta penglibatan lebih aktif jawatankuasa dan komuniti setempat.

Beliau berkata, lokasi yang kurang mendapat sambutan juga perlu dinilai semula dan dipindahkan ke kawasan yang lebih strategik bagi memastikan kemudahan tersebut benar-benar digunakan.

“Jawatankuasa setempat perlu lebih proaktif kerana mereka bukan sekadar menjaga mesin, tetapi perlu membantu mempromosikan kemudahan ini kepada masyarakat.

“Lebih ramai yang terlibat, lebih banyak sisa dapat diasingkan dan dikitar semula.

“Akhirnya, manfaat itu kembali kepada komuniti sendiri,” katanya.

Daripada tong kepada teknologi, daripada sampah kepada nilai dan Trash for Cash di Jelutong memperlihatkan bahawa perubahan budaya kitar semula boleh bermula daripada sesuatu yang dekat dengan masyarakat.

Apa yang diperlukan bukan sekadar mesin pintar, tetapi komuniti yang bijak menggunakannya.