Tun Ramli seru Kerajaan Persekutuan percepat pelaksanaan projek mega di Pulau Pinang

Admin
img 20250516 wa0020

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbang serta mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek mega yang akan memperkukuh rangkaian infrastruktur di negeri ini.

Seruan itu dizahirkan Tun Ramli dalam ucapan sulungnya yang penuh bersejarah semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini sebentar tadi.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap projek-projek mega yang memperkukuh rangkaian infrastruktur dan mobiliti rakyat negeri ini.

“Antara projek yang dimaksudkan termasuk Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD), Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Projek Pemindahan Air Terawat Sungai Perak atau Projek Air Perak–Pulau Pinang serta pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

“Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang dijangka memberi impak positif dalam pengurusan dan penyuraian trafik di Pulau Pinang.

“Saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah memohon projek ini di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ketiga Belas, dan permohonan ini kini sedang dalam perhatian serta pertimbangan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

img 20250516 wa0088img 20250516 wa0110img 20250516 wa0060img 20250516 wa0054img 20250516 wa0046

Menyentuh mengenai prestasi serta pencapaian ekonomi Pulau Pinang, Tun Ramli menyatakan bahawa Pulau Pinang terus mengukir kejayaan dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM116 bilion pada tahun 2023.

Menurut beliau, pencapaian tersebut didorong oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan sebanyak 48 peratus dan pembuatan (46.5 peratus) yang secara kolektif menyumbang hampir keseluruhan struktur ekonomi negeri.

“Apa yang membanggakan, Pulau Pinang kekal sebagai salah satu daripada enam negeri penyumbang utama kepada 73 peratus KDNK nasional dan mencatatkan KDNK per kapita tertinggi sebanyak RM72,586.

“Dalam bidang perdagangan antarabangsa pula, Pulau Pinang telah merekodkan jumlah dagangan sebanyak RM788.1 bilion bagi tahun 2024 iaitu peningkatan 11.6 peratus berbanding RM696.7 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Tun Ramli turut menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta warga perkhidmatan awam atas komitmen dan sumbangan berterusan yang menjadi tulang belakang kepada pencapaian Pulau Pinang.

“Seiring dengan rekod kecemerlangan ini, Visi Penang2030 yang diperkenalkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri menjadi hala tuju strategik untuk masa depan Pulau Pinang.

“Oleh itu, saya memberi sokongan penuh terhadap visi ini dan menyeru semua pihak untuk terus berkolaborasi dalam merealisasikan matlamat tersebut,” ujarnya.

Tun Ramli juga menyambut baik pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti Penang Silicon Design at five kilometer plus (@5km+) dalam memperkukuhkan sektor reka bentuk litar bersepadu (IC) serta mempercepatkan pembangunan ekosistem semikonduktor di negeri ini.

“Projek seperti Penang IC Design and Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Silicon Research and Incubation Space akan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menarik pelaburan daripada syarikat teknologi global.

“Saya juga menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.

“Inisiatif seperti Penang GBS Industry Academy dan Penang STEM Talent Blueprint bakal memastikan Pulau Pinang terus melahirkan tenaga kerja yang kompeten, inovatif dan bersedia memenuhi keperluan industri masa depan,” katanya.

Sebagai ketua negeri, Tun Ramli memaklumkan bahawa beliau amat tersentuh dan kagum melihat keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan syiar Islam secara berterusan dan menyeluruh di Pulau Pinang.

“Saya dimaklumkan bahawa pada tahun ini, dua buah masjid telah berjaya disiapkan iaitu Masjid Papan Kampung Pertama dan Masjid Bandar Cassia, dengan peruntukan berjumlah RM6 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

“Dalam pada itu, saya turut difahamkan bahawa beberapa lagi projek pembinaan masjid sedang giat dilaksanakan, termasuk Masjid Sungai Kechil, Masjid Bandar Putra Bertam, Masjid Taman Sungai Dua Utama, dan Masjid Mengkuang Titi.

“Malah, pembangunan KITAB Smart City Campus di atas tanah wakaf seluas 17.3 ekar dekat Bandar Cassia, Batu Kawan merupakan satu lagi projek besar yang bakal membawa impak jangka panjang.

“Kampus ini akan mempunyai sebuah masjid dan pusat Islam, pusat komersial, kediaman pelajar, serta pusat pentadbiran dan akademik Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB),” ujarnya.

Sebelum itu, Tun Ramli turut menzahirkan komitmen yang tinggi untuk berbakti kepada rakyat Pulau Pinang dengan penuh integriti dan berwawasan.

“Dengan penuh rasa hormat serta rendah diri, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong atas limpah perkenan Baginda memperkenankan pelantikan saya sebagai TYT Pulau Pinang yang ke-9, berkuat kuasa 1 Mei 2025.

“Amanah ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi sumpah setia untuk berbakti kepada negeri dan rakyat Pulau Pinang.

“InsyaAllah, saya akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh iltizam, berlandaskan semangat kenegaraan, menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, demi memenuhi harapan rakyat serta memajukan negeri yang tercinta ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Tun Ramli turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak atas kepimpinan yang luhur dan sumbangan yang besar kepada negeri Pulau Pinang.

“Jasa beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat negeri ini,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR & LAW SUUN TING
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & DARWINA MOHD. DAUD