GEORGE TOWN – Sebarang perbincangan lanjut berkaitan laporan dan perkembangan kes membabitkan Exco Kerajaan Negeri yang didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dalam kejadian 22 Februari lepas, akan dibuat pada minggu hadapan setelah laporan lengkap diperoleh.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara berkaitan seusai Majlis Perasmian Bazar Ramadan Prangin Mall 2026 di sini sebentar tadi.
“Buat masa ini, prinsip yang kita (Kerajaan Negeri) pegang adalah seseorang itu dianggap tidak bersalah selagi mahkamah tidak membuat sebarang keputusan.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada sistem perundangan dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses tersebut.
“Exco berkenaan diminta untuk meneruskan tugas seperti biasa sementara menunggu keputusan rasmi daripada pihak mahkamah,” ujar Kon Yeow lanjut.
Media sebelum ini melaporkan terdapat dakwaan tular di media sosial berkaitan seorang Exco Pulau Pinang ditahan polis selepas dipercayai memukul isterinya dalam kejadian di Pantai Jerejak, pada Ahad lepas.
Pada hari ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tersebut mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama kerana menyebabkan kecederaan terhadap pasangan.
Kes akan disebut semula 28 April depan bagi serahan dokumen.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS