Tuntutan ganti rugi 9 penduduk berjaya hasil inisiatif MP

PADANG LALANG – Sembilan penghuni rumah di Lorong Binjai 7 dekat Taman Sri Rambai di sini akhirnya berjaya mendapat tuntutan ganti rugi masing-masing daripada pihak berwajib, selepas campur tangan oleh Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

Chee Keong memberitahu, penghuni-penghuni berkaitan memperoleh pampasan berwajib daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) disebabkan suatu kejadian voltan elektrik berlebihan yang berlaku di sini, 20 Mei lalu.

Jelasnya, kabel neutral di sini terputus akibat dilanggar oleh lori, sehingga mengakibatkan kerosakan pada peralatan elektrik mereka yang terbabit.

“Setelah aduan dibuat kepada TNB, para penghuni pada mulanya dimaklumkan bahawa TNB tidak akan bertanggungjawab kerana ia adalah di luar bidang kuasa mereka (TNB) dan ia adalah disebabkan kemalangan oleh pihak luar.

“Namun, setelah isu ini dibangkitkan di dalam Mesyuarat Tindakan Kerja Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), mengutuskan surat kepada TNB dan berjumpa dengan pengurus kawasan serta pengurus besar, akhirnya tuntutan pampasan berjaya diselesaikan,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng dan Pengurus Kawasan TNB Seberang Jaya, Ir. Wan Ishak Soed turut hadir pada majlis pertemuan itu.

Wan Ishak dalam kenyataannya memuji inisiatif Chee Keong dan Chong Eng kerana membantu TNB melihat beberapa perkara yang diakui terlepas pandang sehingga beberapa pihak terbabit berjaya mendapat pampasan berwajib.

“Pada mulanya, siasatan mendapati punca voltan elektrik berlebihan berlaku disebabkan kemalangan oleh pihak luar dan bukan (oleh) pihak TNB.

“Namun, setelah penelitian terhadap bukti-bukti yang dikumpulkan oleh pihak Ahli Parlimen dan ADUN, kita dapati kabel tersebut dilanggar oleh lori kerana tiang kabel itu condong dan penduduk yang terbabit berhak mendapatkan pampasan,” jelas beliau.

Pada pertemuan itu, TNB membayar sejumlah RM6,297.46 pampasan atas semua tuntutan pembaikan yang dibuat, setelah ditolak cukai barangan dan perkhidmatan (GST), caj servis dan susut nilai bagi barangan yang dibeli baru.