Majukan tanah lapang sebelum serah kepada PBT – ADUN

DATUK KERAMAT – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta mempertimbang syor untuk mewujudkan garis panduan baharu supaya tanah lapang yang akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) diperindahkan oleh pemaju perumahan terlebih dahulu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, langkah itu demi memastikan tiada lagi open space yang terbiar sampai 12 tahun, seperti di Taman Kejiranan Lengkok Free School di sini.

“Saya mencadangkan kepada MBPP supaya ada suatu garis panduan agar tanah lapang yang akan diserahkan ini mesti dimajukan terlebih dahulu, agar Pulau Pinang boleh ‘dihijaukan’ serta memberi manfaat kepada penduduk di sekeliling,” katanya juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada Majlis Cadangan Pembinaan Taman Kejiranan Lengkok Free School di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri dalam ucapannya bersetuju dengan cadangan Jagdeep supaya suatu garis panduan baharu berwajib diwujudkan oleh PBT berkenaan.

“Kalau tak ada progres (sebarang pelaksanaan) seperti (di Lengkok Free School) ini, saya rasa kita (Kerajaan Negeri) wajibkan.

“Sebelum serahkan, mesti cantikkan tanah lapang dahulu, supaya MBPP tidak perlu belanja wang untuk buat taman baru yang tidak dibuat (terbiar) sejak 10 hingga 20 tahun lepas,” ujarnya sebelum merasmikan majlis berkaitan.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, penduduk setempat akan terdedah kepada wabak denggi apabila satu-satu tanah lapang yang terbiar di negeri ini menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail pula memberitahu bahawa kos memajukan tanah lapang Taman Kejiranan Lengkok Free School tersebut menelan belanja RM109,600, dengan kurangan sebanyak RM47,600 disumbangkan oleh beberapa Ahli Majlis MBPP.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);