Tutup jalan berjadual demi keselamatan pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu

GEORGE TOWN – Cadangan penutupan laluan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di antara persimpangan Hilir Sungai Keluang 1 dan persimpangan Lebuhraya Kampung Jaya dekat Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas secara berjadual tiap-tiap hari dalam tempoh tujuh bulan akan diumumkan tidak lama lagi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, cadangan itu demi membolehkan kerja-kerja pemajuan bahagian rentasan utama atau rentang tuju (speacial span) lebuhraya bertingkat yang merintangi Sungai Keluang dilaksanakan.

“Menteri Kerja Raya (Datuk Fadillah Yusof) memberi kelulusan pada cadangan ini.

“Kita akan mengumumkan tarikh proses penguatkuasaan (penutupan jalan berjadual) ini, selepas semua proses berwajib diperoleh nanti,” jelasnya pada sidang media bersamasama Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. A. Rajendran dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.).

Menurut Kon Yeow, cadangan penutupan jalan pada hari Isnin hingga pagi Jumaat dilakukan dalam dua sesi, iaitu mulai jam 10 pagi hingga 4 petang dan 9 malam hingga 5.30 pagi.

Tambahnya, cadangan penutupan jalan sepenuhnya pula akan dilakukan mulai jam 9 malam pada hari Jumaat hingga 5 pagi pada hari Isnin.

“Jalan-jalan ini mesti ditutup semasa kerjakerja pembinaan berat dijalankan atas faktor keselamatan kepada pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

“(Bagaimanapun), kita tidak boleh menutup sepenuh masa (tiap-tiap pada hari bekerja) kerana kesesakan di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas buat masa ini pun sebenarnya agak sesak,” kata Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam pada itu, Hock Seng memberitahu bahawa pihaknya akan memastikan kerjakerja pemajuan kategori berat tidak akan dilaksanakan semasa jalan-jalan tersebut dibuka untuk akses awam.

Ini kerana, katanya, demi mengelak insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi.

“Ini bukanlah cadangan terbaik untuk memastikan langsung tiada risiko di sini, tetapi, inilah cadangan yang kita ada buat masa ini.

“Kita merancang, Tuhan juga merancang dan kita berharap tiada insiden yang tidak diingini berlaku di tapak pemajuan sepanjang tempoh tujuh bulan itu nanti,” ujarnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Sebelum itu, Rajendran dan Ismade masingmasing menjelaskan proses pemajuan “rentang tuju” tersebut, serta aspek-aspek keselamatan khusus untuk pengguna Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu.

Difahamkan, tiga bahagian rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170 meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau 6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.

“Binaan ini setinggi tiga tingkat, kira-kira 13 kali ganda lebih berat dari (bahagian konkrit penyambung) yang runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dahulu.

“(Rantang tuju) ini adalah paling besar di Malaysia untuk jalan empat laluan, sebab ada satu (rentasan tuju) di Sarawak sepanjang 180 meter untuk jalan dua laluan sahaja,” jelas Ismade.

Sepanjang tempoh pemajuan, kenderaan dari arah George Town dan pusat membelibelah Queensbay Mall menghala ke Batu Maung dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JK2PP) akan dilencongkan ke Lebuhraya Kampung Jawa melalui Jalan Sultan Azlan Shah, Hilir Sungai Keluang 4, Hilir Sungai Keluang 2, Hilir Sungai Keluang 1, Lintasan Bayan Lepas dan kembali semula ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang berhampiran JK2PP.

Kenderaan dari arah Batu maung dan JK2PP menghala ke arah pusat membelibelah Queensbay Mall dan George Town pula akan dilencongkan ke Hilir Sungai Keluang 1, melalui Hilir Sungai Keluang 2, Hilir Sungai Keluang 4 dan Jalan Sultan Azlan Shah, seterusnya membuat pusingan U di Persimpangan Jalan Mayang Pasir dan kembali ke Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu, sama ada melalui Lebuhraya Kampung Jawa atau Bulatan Bayan Baru