Derma darah dapat perbaharui sel darah – Dr. Jayabalan

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Dr. T. Jayabalan menyatakan bahawa selain membantu mereka yang memerlukan, niat baik seseorang individu untuk menderma darah dapat memperbaharui sel darah di dalam tubuh masing-maasing.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Kesihatan dan Derma Darah Anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama-sama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (ANSARA), Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Pulau Pinang serta Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini barubaru ini.

Menurut beliau yang juga merupakan doktor perubatan, apabila sel darah manusia diperbaharui selepas menderma darah, bekalan oksigen yang dibekalkan kepada tubuh adalah lebih baik.

“Ini adalah manfaat di sebalik membantu mereka yang memerlukan seperti mangsamangsa kemalangan, individu yang menjalani pembedahan serta ibu-ibu yang mengalami komplikasi ketika bersalin,” ucapnya pada majlis perasmian kempen berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Semua darah yang diderma bersempena penganjuran berkaitan bakal diserahkan kepada HPP bagi menampung bekalan pada bulan Ramadan dan musim perayaan.