JAWI – Seramai 101 kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi Tahun 2025 yang diadakan di Dewan Serba Guna Jawi, di sini, hari ini.
Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Y.M. Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, berkenan hadir menyempurnakan acara simbolik memandikan kanak-kanak menggunakan pancutan air daripada jentera bomba bagi menceriakan suasana serta mengurangkan rasa gemuruh dalam kalangan peserta.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, penganjuran program pada pagi ini merupakan kesinambungan kepada edisi sulung yang berlangsung pada 18 Januari lalu dan mendapat sambutan amat menggalakkan.
Menurut beliau, program berkenaan bertujuan membantu meringankan beban kewangan keluarga B40 di sekitar KADUN Jawi, susulan kos berkhatan di klinik swasta yang kini mencecah antara RM180 hingga RM200.
“Jumlah ini mungkin tidak besar bagi sesetengah pihak, namun menjadi beban kepada keluarga yang mempunyai ramai anak serta sumber pendapatan terhad.
“Bagi program kali ini, seramai 101 peserta berumur empat tahun ke atas berjaya mendaftar dengan hanya dikenakan yuran pendaftaran RM40,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Beliau turut memaklumkan bahawa edisi kedua Program Khatan Perdana KADUN Jawi Tahun 2025 menjadi lebih bermakna apabila Pusat Khidmat Rakyat ADUN Jawi menaja sepenuhnya khatan bagi 18 kanak-kanak dari Kompleks Penyayang Sinar Kasih, Nibong Tebal.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) setempat serta Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Nibong Tebal, atas kerjasama menjayakan program berkenaan.
Antara pemimpin negeri yang turut hadir ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintenden Polis Mohd. Norazmi Abd. Ghapar; Penolong Pegawai Daerah SPS, Faizal Nizam; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Khairul Anuar Kamaruddin; serta Imam 1 Masjid Daerah SPS, Ahmad Mamduh Mohd. Zulkifli.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB