Ucapan TYT sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Yang Ke-13

Tuan Yang Terutama Negeri (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas membuat pemeriksaan perbarisan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ketiga Belas Negeri Pulau Pinang.

UCAPAN TUAN YANG TERUTAMA

YANG DI PERTUA NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA

PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI

YANG KETIGA BELAS NEGERI PULAU PINANG

PADA 02 JULAI 2013 JAM 9.30 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera

Bismillahirrahmanirrahim

Yang Berhormat Tuan Law Choo Kiang

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng

Ketua Menteri Pulau Pinang

Yang Berhormat Tuan Haji Mohd. Rashid bin Hasnon

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

Yang Berhormat Tuan Professor Dr. P.Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri-Tan Sri dan Puan Sri-Puan Sri

Yang Berbahagia Dato’ Seri-Dato’Seri dan Datin Seri-Datin Seri

Yang Berbahagia Dato’-Dato’ dan Datin-Datin

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

  1. Alhamdulillah, ingin saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia dan restuNya jua pada hari ini, dapat saya menyampaikan ucapan di majlis yang mulia ini, bersempena Mesyuarat Pertama bagi Penggal Yang Pertama, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ketiga Belas.

  1. Sayamengambil kesempatan yang berharga ini bagi mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada rakyat
    Negeri Pulau Pinang di atas penyertaan mereka secara aktif dan aman dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu untuk memilih wakil-wakil rakyat supaya dapat membentuk Dewan Undangan dan Kerajaan Negeri. Ini sememangnya mencerminkan kematangan politik rakyat Pulau Pinang dan kekuatan sistem demokrasi berparlimen kita.

  1. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng yang telah dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah diberi tanggungjawab memegang pelbagai portfolio dengan beberapa pindaan. Saya juga ingin merekodkan kemenangan besar kerajaan negeri pimpinan beliau dalam pilihanraya lepas yang bukan sahaja menambahkan kerusi tetapi juga undi popular kepada 68% yang merupakan paling tinggi di antara semua negeri di Malaysia. Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri ini. Semoga Ahli-Ahli Yang Berhormat akan menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi, ikhlas dan jujur demi seluruh masyarakat untuk kemakmuran Negeri Pulau Pinang.

  1. Sememangnya, mandat besar yang diberi oleh pengundi dalam Pilihanraya Umum yang lalu, mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu rakyat negeri ini terhadap barisan Kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang telah mencapai prestasi yang baik dalam penggal yang lepas. Sayapasti semua warga Negeri Pulau Pinang bangga dengan kemajuan sosio-ekonomi yang mengagumkan dan

merupakan antara nadi penggerak kepada Malaysia. Meskipun masih terdapat kelemahan yang mesti diatasi, namun negeri ini perlu meneruskan usaha mencapai matlamat masyarakat yang maju dengan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik.

  1. Saya penuh yakin bahawa dalam konteks ini, Kerajaan Negeri yang baru dibentuk bukan sahaja akan menjamin kesinambungan pentadbiran untuk meneruskan pembangunan yang sedang dilaksanakan, bahkan akan berusaha dengan lebih gigih lagi bagi menggubal dan melaksanakan strategi-strategi pembangunan yang baru dan lebih berkesan. Saya ingin menyeru kepada rakyat jelata untuk terus bersatu padu serta memberi sokongan padu dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri demi menjayakan semua strategi dan program pembangunan ekonomi dan sosial.

CABARAN KEWANGAN DAN PEMBANGUNAN NEGERI

  1. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi runtuhan tanjakan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang dan runtuhan rod besi penebat kilat di Menara UMNO, Jalan Macalister akibat kejadian ribut yang telah mengorbankan beberapa nyawa dan menyebabkan kecederaan. Di kesempatan ini, saya dengan penuh simpati ingin mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga ketiga-tiga mangsa yang terkorban dan cedera serta terlibat dalam tragedi yang amat menyayat hati ini. Saya berharap Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan akan mengkaji semula Standard Operating Procedure (SOP) yang digunapakai dan menekankan kepada pematuhannya agar kejadian sebegini tidak berulang lagi dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan yang mendatang. Kedua-dua pihak harus bekerjasama dalam siasatan-siasatan yang akan dijalankan demi memastikan tragedi menyayat hati tidak berulang lagi dan memastikan ia selamat kepada pengguna jalanraya berkenaan.

  1. Bersyukur kita kerana dalam suasana yang begitu mencabar serta berhadapan dengan pelbagai kekangan ekonomi lembap di peringkat antarabangsa, Kerajaan Negeri pada keseluruhannya telah berjaya mencatatkan dan memantapkan kedudukan kewangannya. Kerajaan Negeri telah mengakhiri tahun kewangan 2012 dengan lebihan serta berupaya mengukuhkan simpanan terkumpul negeri dan terus mengekalkan rekod lebihan bajet sejak 2008. Pencapaian ini telah dapat direalisasikan dengan kutipan hasil negeri yang bertambah, perbelanjaan berhemat dan langkah-langkah kawalan dalaman perbelanjaan yang diamalkan di peringkat Anggota Pentadbiran Negeri dan di peringkat perkhidmatan awam. Lebih membanggakan lagi pengukuhan kedudukan kewangan ini dicapai dalam persekitaran kemerosotan suasana fiskal di peringkat antarabangsa dan Persekutuan. Pencapaian ke atas kedudukan kewangan negeri yang sihat ini adalah manifestasi urus tadbir Cekap, Akauntabiliti, Telus atau CAT di belakang kegigihan Kerajaan Negeri dalam memikul amanah untuk membawa kemajuan demi kesejahteraan rakyat.

  1. Saya berharap prinsip Cekap, Akauntabiliti, Telus yang didokong oleh Kerajaan Negeri dan telah diterap kepada semua peringkat perkhidmatan akan terus menjadi prinsip pegangan dalam pelaksanaan kerja dan pemberian perkhidmatan. Kerajaan juga akan terus memberi penekanan kepada kesan (outcome) dan optimal value for money dalam perbelanjaan wang awam perlulah terus diberi penekanan utama.

  1. Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang diperkenalkan Kerajaan Negeri dalam bajet 2013 sebagai falsafah induk yang memandu arah tuju negeri dengan memberi penekanan kepada strategi untuk mengurangkan ketidaksamaan, merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan serta menjana pendapatan dan menjamin keadilan sosio ekonomi kepada semua lapisan rakyat Negeri Pulau Pinang dilihat sangatlah bertepatan.

  1. Pelancaran Paradigma Pulau Pinang atau Penang Paradigm merupakan kerangka pembangunan yang diusahakan oleh Penang Institute bagi membangunkan Pulau Pinang untuk tempoh 2013-2023 ke arah sebuah negeri pintar bertaraf antarabangsa. Penang Paradigm seharusnya juga mengorak langkah ke arah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang tahun 2015.

MERANCAKKAN PERINDUSTRIAN DAN PELABURAN

  1. Kelebihan sumber manusia dan kemudahan infrastruktur menjadi faktor pendorong kepada pembangunan sosio-ekonomi perindustrian, pembuatan dan teknologi tinggi. Ia telah menyediakan satu persekitaran yang amat menggalakkan bagi pertumbuhan pelbagai sektor khususnya perindustrian dan pelancongan.

  1. Kerajaan Negeri yang kukuh dan stabil telah membolehkan Pulau Pinang berjaya menarik pelaburan yang paling besar di Malaysia dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2010 dan 2011. Sepanjang tempoh lima tahun yang lepas iaitu dari 2008 hingga 2012, Pulau Pinang mencatat pelaburan berjumlah RM36.1 billion berbanding RM18.7 billion dalam tempoh lima tahun sebelum ini iaitu dari 2003 – 2007.

  1. Justeru, suka saya menyarankan Kerajaan Negeri untuk meneruskan usaha mempertingkatkan pelaburan di Pulau Pinang terutamanya dalam industri yang mempunyai nilai tambahan tinggi dan industri intensif pengetahuan. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri perlu juga memberi tumpuan untuk memperkembangkan keupayaan IKS tempatan untuk membolehkan mereka memainkan peranan mereka sebagai pembekal kepada MNC dengan menggunakan teknologi yang lebih tinggi, tetapi juga menerokai pasaran serantau dan sedunia.

  1. Industri halal juga harus diberikan perhatian menerusi inisiatif Global Halal Centre. Saya difahamkan Kerajaan Negeri telah pun merancang pembangunan Halal Industrial Park dan SME Village di

Batu Kawan yang terdiri daripada plot-plot tanah, kilang siapbina berbentuk teres dan berkembar untuk ditawarkan kepada pelabur IKS, selain telah menubuhkan SMART Centre dan SME Centre.

PENGANGKUTAN DAN PENGURUSAN LALU LINTAS

 

  1. Sistem pengangkutan dan pengurusan trafik yang baik menjadi salah satu faktor penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sesuatu bandar. Pelancaran Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang pada 25 Mac 2013 yang meliputi lima (5) komponen iaitu Pelan Tindakan Lebuhraya, Pelan Tindakan Sistem Pengangkutan Awam, Pelan Tindakan Kebolehcapaian, Pelan Tindakan Institusi dan Kajian Pengangkutan Air, kini telahpun memasuki fasa pelaksanaan. Saya berharap mod (mode) penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang akan mencapai 40% pada tahun 2030 sebagaimana dihasratkan oleh Kerajaan Negeri.
  1. Saya melihat inisiatif Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri basikal pertama di Malaysia dengan menyediakan laluan berbasikal sepanjang 210 kilometer amatlah bertepatan. Saya difahamkan bagi tahun 2013, RM5.4 juta telah diperuntukkan oleh MPPP untuk pembinaan dan penyelenggaraan laluan basikal serta penyediaan rak basikal.

 

Sebahagian daripada peruntukan ini akan digunakan untuk membina jambatan merentasi Sungai Pinang untuk penunggang basikal dan pejalan kaki.

 

INFRASTRUKTUR DAN KEMUDAHAN

  1. Infrastruktur jalan raya di Pulau Pinang perlulah dipertingkatkan setaraf dengan negara-negara maju bagi menjamin negeri ini kekal lokasi pilihan pelabur dan pelancong. Sehubungan itu, hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek RM6.3 bilion untuk meleraikan trafik melalui pembinaan tiga lebuhraya iaitu jalan pintas (by-pass) dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong

Eu; jalan pintas (by-pass) dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Ayer Itam; jalan berkembar dari Bandar Tanjung Bunga ke Bandar Teluk Bahang serta pembinaan Link Ketiga Pulau Pinang yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam perlu disokong. Saya berharap Kajian Kemungkinan akan membolehkan jajaran yang sesuai dikenalpasti dan seterusnya Kajian Terperinci Kesan kepada Alam Sekitar (Detailed Environment Impact Assessment – DEIA) akan dijalankan bagi memastikan projek ini benar-benar selamat untuk dilaksanakan dan boleh disiapkan dengan baik.

  1. Bagi meningkatkan keupayaan penjanaan elektrik di Pulau Pinang, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membina sebuah lagi Stesen Jana Elektrik di Perai dengan kos RM3 bilion dan dijangka siap pada tahun 2016. Malahan, mulai tahun 2015 hingga 2018, TNB mensasarkan untuk menambah keupayaan pengagihan bekalan elektrik melalui pembinaan lapan (8) Pencawang Masuk Utama baru berkeupayaan sebanyak 842 MW dengan kos pembinaan RM589.5 juta.

  1. Pulau Pinang yang kerapkali mengalami insiden banjir kilat ketika hujan lebat juga diberi perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Selain dari memohon Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang khasnya, Kerajaan Negeri pada tahun 2013 telah menyediakan peruntukan berjumlah RM31.58 jutabagi melaksanakan dan menguruskan projek-projek pencegahan banjir. Kerajaan Negeri juga berharap warga Pulau Pinang akan sentiasa bijak memastikan kebersihan persekitaran serta tidak membuang sampah sehingga boleh menjejaskan aliran sungai.
  1. Kerajaan Negeri telah meluluskan projek menerusi Public-Private Partnership (PPP) sebanyak RM40 juta bagi menaiktaraf bangunan KOMTAR yang merupakan pusat pentadbiran Kerajaan. Projek ini merangkumi aktiviti komersil di ruang terbuka Aras 5, pembangunan semula Kompleks Makanan di Aras 5 Rooftop sebagai Dewan Bankuet, pembangunan restoran di Aras 59 & 60, pembangunan restoran (outdoor dining) di Aras 64 & 65, serta

pembinaan bubble lift di luar Blok Menara. Komponen pertama iaitu pembinaan Dewan Bankuet dijangka siap pada awal tahun 2014. Satu Dewan Bankuet yang bernilai lebih daripada RM10 juta juga akan dibina oleh PDC di kawasan Seberang Jaya.

PEMBANGUNAN PELANCONGAN

  1. Saya amat berbangga apabila strategi yang tepat telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi terus menarik pelancong ke Pulau Pinang sehingga berjaya menarik kemasukan 6.09 juta orang pelancong, dengan sejumlah 3.09 juta orang adalah pelancong asing. Buktinya tempahan bilik hotel yang penuh sungguhpun ada hotel baru dibuka dan pembinaan hotel baru atau yang sedang dirancangkan menunjukkan bahawa industri pelancongan akan menjadi pemangkin pembangunan utama Negeri Pulau Pinang.

  1. Pesta Warisan George Town merupakan perayaan warisan terunggul di Malaysia yang mendapat perhatian sedunia. Dokumentasi Sejarah Lisan juga antara projek warisan yang akan dilaksanakan pada tahun 2013 yang melibatkan penceritaan penduduk asal George Town mengenai kehidupan mereka dan persekitaran Tapak Warisan Dunia George Town pada masa dahulu serta melaksanakan projekLukisan Terukur Bagi Bangunan Warisan Kategori Satu.

  1. Kecemerlangan Pulau Pinang dalam menganjurkan acara-acara sukan bertaraf antarabangsa serta acara kebudayaan dan kesenian seperti Larian Marathon Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang dan World Music Festival perlulah diteruskan. Saya amat berharap usaha mempelbagaikan produk pelancongan negeri dan menambahbaik kemudahan asas serta penyediaan maklumat lengkap kepada pelancong dapat dilakukan secara konsisten untuk memastikan Pulau Pinang menerajui sektor pelancongan negara dan sasaran ketibaan pelancong seramai 10 juta orang menjelang tahun 2015 tercapai.

  1. Di samping pelancongan bercirikan warisan, makanan dan rekreasi, Pulau Pinang kini menjadi destinasi pilihan bagi pelancong perubatan mendapatkan perkhidmatan perubatan yang terbaik di hospital-hospital pakar yang terdapat di Pulau Pinang. Ini terbukti apabila Pulau Pinang telah mencatatkan 60% daripada jumlah pelancong perubatan negara. Saya menyarankan agar Kerajaan Negeri menumpukan kepada beberapa pasaran baru seperti Hong Kong, Vietnam dan Myanmar, di samping pasaran sedia ada iaitu Indonesia.

  1. Selain George Town, kawasan Seberang Perai juga mempunyai pelbagai potensi untuk menjadi tumpuan pelancong. Tarikan semulajadi di Seberang Perai seperti Pulau Aman, kelip-kelip Kampong Sanglang, Seberang Perai Selatan dan Kuala Muda Pulau

Pinang perlu dimanfaatkan supaya agihan kunjungan pelancong bukan sahaja tertumpu di kawasan George Town, tetapi juga di kawasan Seberang Perai. Produk pelancongan sedia ada seperti homestay perlu terus digiatkan dan diselarikan dengan ketibaan musim buah-buahan tempatan seperti musim durian di Balik Pulau bagi mempromosikan budaya masyarakat setempat. Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang juga sedang memberi tumpuan kepada pembangunan Taman Negeri Bukit Panchor, Hutan Lipur Bukit Mertajam, Hutan Lipur Telok Bahang dan Muzium Perhutanan bagi projek pembangunan sumber bio-pelancongan hutan dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM 5.7 juta.

PEMBANGUNAN PERTANIAN DAN ASAS TANI

  1. Jabatan Pertanian perlu terus berusaha memberi tumpuan kepada program-program dan projek-projek yang memberi kesan terhadap peningkatan kualiti dan produktiviti hasil ladang agar dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani. Antara program yang sedang dilaksanakan adalah:

  1. Pembangunan Kluster Padi, Buah-Buahan dan Sayur-sayuran;

  1. Pembangunan Petak Demonstrasi dan Promosi Teknologi;

  2. Pengukuhan Sistem Pengembangan Tekno Pertanian;

  1. Pembangunan Zon Pemprosesan Makanan; dan

  2. Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Produk.

27. Dalam sektor ternakan, peruntukan berjumlah RM2.94 juta telah disediakan bagi tahun 2013 dengan tumpuan diberikan ke atas pembangunan industri ternakan dan kawalan pencemaran. Bagi memenuhi permintaan bahan makanan berasaskan ternakan yang semakin meningkat, Jabatan Veterinar Negeri Pulau Pinang akan memberi perhatian untuk membangunkan sektor penternakan dan industri pemprosesan berasaskan hasil ternakan kepada komoditi utama iaitu daging dan telur ayam/itik, daging lembu/kerbau, daging kambing/bebiri, daging khinzir dan susu lembu.

28. Peningkatan produktiviti pengeluaran hasil ternakan hendaklah diusahakan melalui Amalan Perladangan Baik, pengiktirafan piawaian ladang melalui Skim Akreditasi Ladang Ternakan serta Amalan Baik Kebersihan Veterinar bagi produk Industri Asas Tani. Nilai Hasil Ternakan Pulau Pinang (NHT) sejak lima tahun yang lalu telah merekodkan nilai pengeluaran melebihi RM700 juta setiap tahun. Pengeluaran NHT pada tahun 2012 adalah berjumlah RM770.16 juta. Pada tahun 2013, kadar ini dijangka akan terus

berkembang dengan sederhana dan dianggarkan akan melebihi nilai RM780 juta.

29. Sehingga tahun 2012, jumlah nelayan yang berdaftar di Pulau Pinang adalah seramai 5,931 orang dengan bilangan vesel berdaftar sebanyak 3,375 buah. Pada tahun 2012, pendaratan ikan laut oleh vesel-vesel berdaftar ialah sebanyak 52,485 tan metrik bernilai RM408.48 juta.

Sebagai langkah berterusan untuk meningkatkan pendapatan nelayan sungai/darat, disasarkan sebanyak 500,000 ekor benih ikan/udang galah akan dilepaskan di beberapa batang sungai pada tahun ini.

30. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berusaha untuk menjaga kebajikan golongan nelayan pantai dengan memberikan pukat percuma dua kali setahun kepada nelayan pantai sahaja.

MENYEDIAKAN PERUMAHAN BERKUALITI

31. Dalam pembangunan perumahan, saya sedar masalah rumah kediaman menjadi agenda utama Kerajaan Negeri bagi menyediakan rumah yang selesa dan kondusif, sesuai dengan pendekatan demokrasi perumahan untuk semua rakyat. Bagi memenuhi hak perumahan rakyat, saya amat gembira apabila Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tujuh (7) tapak tanah milik Kerajaan Negeri dan Pihak

Berkuasa Tempatan di kesemua 5 daerah bagi pelaksanaan projek perumahan mampu milik di antara kos RM72,500.00 ke RM400,000.00 dengan penekanan ke atas rumah bernilai RM200,000.00 hingga RM250,000.00.

  1. Keseluruhan projek ini melibatkan lebih kurang sebanyak 22,172 unit perumahan mampu milik di seluruh Negeri Pulau Pinang melalui peruntukan sebanyak RM500 juta. Sejumlah 3,152 unit telah dikenalpasti untuk dibina di bahagian Pulau, manakala bakinya akan dibina di Seberang Perai. Kini Kerajaan Negeri sedang menimbang untuk mengambil langkah tambahan mengambil alih tanah di Balik Pulau dan menebus guna tanah di Middle Bank bagi pembinaan sekurang-kurangnya 5,000 unit lagi rumah mampu milik di kawasan pulau.

  1. Saya berasa sukacita apabila Kerajaan Negeri telah memulakan langkah awal dengan mengadakan pendaftaran minat untuk 2,420 unit perumahan mampu milik Kerajaan Negeri di Jalan SP Chelliah (1,900 unit) dan Bandar Cassia (520 unit) yang telah

disambut baik dengan lebih 19,000 permohonan. Besarlah harapan agar perumahan mampu milik yang disediakan ini dapat memenuhi piawaian kualiti yang ketat, dibekalkan dengan infrastruktur yang mencukupi seperti lampu jalan, kemudahan pembuangan sampah, jalan masuk, dewan masyarakat, kawasan tanah lapang hijau, tadika dan rumah-rumah ibadat bagi masyarakat pelbagai kaum.

34. Usaha menaiktaraf bangunan-bangunan perumahan bertingkat yang dimajukan oleh Kerajaan Negeri perlulah diteruskan untuk kemudahan rakyat. Justeru, Kerajaan Negeri melalui PDC,MPPP dan MPSP ataupun Kerajaan Negeri sendiri telah menawarkan inisiatif pengecatan semula bangunan yang dibina oleh agensi Kerajaan Negeri atas kaedah perkongsian kos iaitu 80% kos ditanggung oleh PDC manakala baki 20% ditanggung oleh pihak Perbadanan Pengurusan (MC). Kerja-kerja pengecatan semula telah berjaya disiapkan di Pangsapuri Mayang, Bandar Bayan Baru dan Kompleks Jalan Kedah di Georgetown pada bulan Mac 2013. Projek seterusnya yang sedang diusahakan adalah di Pangsapuri Golfview dan Pangsapuri Fairway View Bukit Jambul, serta Blok 7 Jalan Tengah, Bandar Bayan Baru, manakala projek-projek lain akan dikenalpasti kelak.

  1. Pada masa yang sama menerusi program HAPPY, Kerajaan Negeri telahpun menawarkan pembiayaan baki sebanyak 10% dan 30% kos perbelanjaan yang perlu dikeluarkan oleh pemilik rumah kos rendah dan sederhana rendah untuk membuat pembaikan ke atas rumah pangsa mereka termasuk membaiki tangki air, kabel letrik, lif mahupun pengecatan semula. Ini adalah untuk menjayakan program Kerajaan Persekutuan TP1M atau Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia yang hanya akan membiayai kos pembaikan semula rumah pangsa kos rendah dan kos sederhana rendah dengan syarat pemilik mesti masing-masing menanggung 10% dan 30% kos

tersebut. Sehingga sekarang, hanya Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Sungai Batu di Teluk Kumbar telah diluluskan sebanyak RM100,000.00. Adalah diharapkan pihak Kerajaan Persekutuan akan meluluskan pemberian baki kos pembaikan 90% dan 70% dengan segera.

KEBAJIKAN, KESIHATAN DAN KEMISKINAN SIFAR

36. Saya merasa bangga apabila Pulau Pinang berjaya mencatat sejarah dengan pelancaran Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang berjumlah RM20 juta untuk menjadi negeri pertama di Malaysia bagi menghapuskan kemiskinan dengan memastikan bahawa setiap isi rumah di Pulau Pinang mempunyai pendapatan minima RM770 sebulan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu RM720 sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Bagi tempoh 2009 hingga 2012, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM8.97 juta untuk membasmi kemiskinan yang telah memanfaatkan seramai 876 Ketua Isi Rumah. Saya berharap pengenalan AES ini dapat mengurangkan jurang ketidaksamaan di kalangan masyarakat dan seterusnya menghapuskan kemiskinan di Pulau Pinang.

  1. Usaha Kerajaan Negeri dalam terus memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat melalui pelbagai pemberian bantuan

kebajikan, bayaran wang ehsan dan penghargaan kepada warga emas, pelajar IPTA, sekolah rendah dan menengah, bantuan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal dan penghargaan anak emas wajar diberi pengiktirafan. Saya difahamkan bahawa golongan ibu emas yang tidak bekerja juga akan menikmati bantuan RM100 setahun ini mulai tahun 2014. Sejak tahun 2010 hingga 2012, kesemua program ini telah menelan belanja sebanyak RM61.78 juta. Malahan, program kebajikan Kerajaan Negeri terus mendapat komitmen jitu daripada rakyat apabila bilangan pendaftar dalam Sistem i-Sejahtera kian meningkat.

  1. Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau dan Seberang Jaya dengan kos RM4 juta untuk memberikan rawatan subsidi sebanyak RM30 bagi setiap rawatan kepada golongan tidak berada untuk mencuci buah pinggang. Saya amat gembira bahawa masalah kelewatan pengeluaran lesen operasi oleh Kementerian Kesihatan telahpun diselesaikan. Kerajaan Negeri berharap operasi ini dapat dijalankan menjelang akhir tahun ini.

Bagi Pusat Dialisis CAT, perancangan sedang dibuat dengan pihak PDC dan sebuah penaja swasta berhampiran dengan Hospital Seberang Jaya.

BANDAR SELAMAT

  1. Tarikan Pulau Pinang sebagai bandaraya pilihan utama pelancong, pelabur dan penduduk adalah keselamatan awam dan kadar jenayah yang rendah. Sungguhpun Pulau Pinang mencapai rekod menggalakkan dengan penurunan kadar jenayah paling tinggi di seluruh negara dalam lima (5) tahun ini. Akan tetapi pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah melahirkan kebimbangan kepada pihak polis ekoran kadar jenayah telah meningkat sebanyak 8%. Oleh itu Kerajaan Negeri telah memberikan keutamaan untuk mengurangkan kejadian jenayah di kawasan Pulau dan Seberang Perai dengan menambahkan CCTV, lampu jalan, menubuhkan Pasukan Peronda Sukarela untuk menjalankan kerja kepolisan masyarakat serta bekerjasama sepenuhnya dengan Polis DiRaja Malaysia. Dalam aspek ini, MPPP telah menyertai Program Bandar Selamat dengan Pemetaan GIS Jenayah serta akur kepada arahan Kerajaan Negeri untuk menambahkan satu lampu jalan setiap hari.

  1. Pada masa sekarang, terdapat tiga puluh enam (36) buah kamera CCTV telah dipasang oleh MPPP manakala dua puluh empat (24) buah lagi telah dipasang oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjadikan keseluruhannya terdapat enam puluh (60) buah kamera CCTV di bahagian pulau. Sebanyak lima belas (15) buah kamera CCTV lagi akan dipasang oleh MPPP pada tahun 2013 dengan kos

RM420,000.00. Pihak Kementerian juga bercadang memulakan pemasangan tiga puluh dua (32) buah kamera CCTV tambahan di bahagian pulau pada tahun ini. Dalam pada itu, sebanyak dua puluh empat (24) buah kamera CCTV telah dipasang oleh MPSP di kawasan Seberang Perai buat masa kini. Manakala, sebanyak tujuh puluh lima (75) buah lagi kamera CCTV akan dipasang pada tahun ini, di mana lima puluh lima (55) buah kamera CCTV akan dipasang

oleh MPSP dan dua puluh (20) buah kamera CCTV lagi akan dipasang oleh KPKT.

KECEMERLANGAN SUKAN DAN BELIA

41. Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan sukan menerusi Majlis Sukan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM6.2 juta untuk tahun ini. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM5 juta untuk membina gelanggang futsal atau bola keranjang di setiap KADUN untuk menggalakkan aktiviti belia yang sihat.

  1. Dalam pembangunan belia, saya amat berharap golongan belia menjadi penyambung generasi akan datang dan menjadi aset yang amat berharga kepada Pulau Pinang. Usaha-usaha berterusan perlu bagi menggalakkan dan tidak menghalang idea inovatif dan kreatif yang dihasilkan generasi belia ke tahap yang lebih baik. Penubuhan Penang Youth Development Corporation Sdn. Bhd. merupakan inisiatif yang tepat dalam merencana strategi pembangunan belia.

PEMBANGUNAN WANITA

43. Komitmen Kerajaan Negeri untuk terus meningkatkan kedudukan wanita di Pulau Pinang juga amat jelas dan diterjemahkan melalui penubuhan Penang Women Development Corporation pada tahun lepas. Ia dimantapkan dengan penubuhan Briged Wanita tahun ini, iaitu sebuah badan sukarela yang bertujuan untuk memelihara kebajikan wanita Pulau Pinang. Antara aktiviti utama Briged Wanita ialah:

  1. Pendaftaran ibu tunggal untuk program bantuan ibu tunggal.

  1. Pendaftaran suri rumah sepenuh masa di bawah umur 60 tahun untuk program penghargaan Ibu Emas oleh Kerajaan Negeri dengan pemberian RM100 setiap tahun kepada surirumah yang tidak bekerja;

  1. Pendaftaran wanita atas 35 tahun untuk program mamogram (pemeriksaan payudara) percuma;

  1. Pendaftaran wanita untuk skim pinjaman mikro kredit Kerajaan Negeri; dan

  1. Menggerakkan wanita untuk lain-lain aktiviti yang memanfaatkan wanita dan komuniti tempatan.

44. Saya juga merasa amat gembira apabila Kerajaan Negeri melalui MPPP telah memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 untuk membeli dan memasang kelengkapan riadah kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) di Pusat Informasi, Taman Perbandaran, sekaligus menjadikan Taman Perbandaran sebagai pusat riadah awam yang pertama di Malaysia menyediakan kemudahan ini dan memberi peluang kepada kanak-kanak OKU untuk bermain seperti kanak-kanak yang lain.

MEMARTABATKAN AGAMA ISLAM

  1. Dalam konteks Islam sebagai Agama Persekutuan dan Agama Negeri serta jaminan hak kebebasan beragama bagi para penganut agama yang lain, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan pengajaran agama yang tepat supaya semua rakyat mengamalkan nilai-nilai murni yang terdapat di dalam agama masing-masing. Selaras dengan usaha untuk meningkatkan syiar Islam di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha untuk mengurangkan kadar perceraian melalui pelbagai program kursus pasca perkahwinan dan kemahiran keibubapaan dengan kerjasama sukarelawan dan NGO Islam.

46. Selain daripada aspek pembangunan sosial, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan kerja-kerja pembangunan fizikal institusi agama yang merangkumi institusi masjid dan surau, Sekolah Agama Rakyat dan lain-lain institusi agama bagi memastikan rakyat dapat beribadah dan memenuhi keperluan menuntut ilmu dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif. Kerajaan Negeri juga merancang membina Mahkamah Rendah Syariah Daerah Seberang Perai Tengah sebanyak RM10 juta yang diharapkan dapat disiapkan dalam tempoh masa yang sama dengan Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah pada akhir tahun 2014.

PERKHIDMATAN AWAM YANG BERKESAN

47. Untuk mencapai status perkhidmatan awam yang cemerlang dan bertaraf antarabangsa, jentera pentadbiran kerajaan yang kompeten, berdaya saing, kreatif, inovatif dan berintegriti amat diperlukan. Di samping itu, rakyat sebagai pelanggan semakin bijak, matang dan arif tentang hak-hak mereka, mempunyai harapan yang tinggi, sentiasa menyampaikan pandangan secara terbuka dan menuntut layanan yang terbaik.

  1. Justeru, saya yakin dan percaya pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa melaksanakan transformasi sejajar dengan tuntutan untuk memastikan penyampaian perkhidmatan lebih responsif, cekap, tepat, telus dan mesra rakyat. Saya berharap semua penjawat awam di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri mesti tegas mempromosikan nilai-nilai tadbir urus yang baik, penuh berintegriti, kebertanggungjawaban awam dan akses kepada maklumat dengan segala daya upaya mereka.

PENUTUP

  1. Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai Ahli Dewan Negeri yang mulia ini, Yang Berhormat hendaklah mematuhi Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri semasa bersidang supaya perjalanan sidang Dewan Negeri berjalan dengan teratur dan

sempurna, serta dengan penuh rasa hormat-menghormati antara satu dengan lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing. Kini adalah masa untuk Ahli-Ahli Yang Berhormat menyempurnakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan bukan untuk berpolitik di dalam dewan yang mulia ini. Ini jelas kerana matlamat setiap Ahli Dewan Negeri adalah sama iaitu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri.

50. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Negeri Pulau Pinang, apa jua tindakan dan perlakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat akan sentiasa menarik perhatian umum. Tambahan pula Persidangan Dewan Negeri Pulau Pinang dapat diikuti secara langsung oleh umum. Oleh yang demikian, Ahli-Ahli Yang Berhormat seharusnya mengamalkan nilai-nilai murni dalam setiap tindakan dan perlakuan Ahli-Ahli Yang Berhormat agar ianya menjadi contoh kepada masyarakat umum dan mencerminkan ketamadunan dan kemajuan negeri ini.

51. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk angkatan tentera, polis dan bomba yang telah berusaha siang dan malam bagi menjamin kemajuan, kemakmuran dan keselamatan rakyat di negeri yang dikasihi ini. Ucapan Tahniah dan Selamat Maju Jaya saya tujukan kepada Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng, serta semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam usaha memandu Negeri Pulau Pinang sebagai negeri termaju di Malaysia dan sentiasa di hadapan sepanjang masa.

52. Akhir kata, saya berdoa semoga Negeri Pulau Pinang dan seluruh rakyat akan terus mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t. dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya supaya rakyat bersama berusaha menjamin keamanan dan kemakmuran yang dapat diwariskan kepada anak-anak dari generasi ke generasi. Saya turut berharap agar semua perancangan yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam memastikan matlamat menjadikan Pulau Pinang Negeri Pintar Bertaraf Antarabangsa, tercapai.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Saya Mengucapkan Selamat Bersidang Di Dewan Yang Mulia Ini”.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.