Ulang tahun ke-100: SK Wellesley anjur larian ria, sasar kutip dana cat semula sekolah

img 0528 MOHAMED Rizwan Abdul Ghafoor Khan (kiri) dan Mohd. Firdaus Abdul Wahab menunjukkan fasad Sekolah Kebangsaan Wallesley yang berusia 100 tahun, seusai sidang media di sini pada 4 September 2025.

GEORGE TOWN – Pada 11 Oktober 2025 akan berlangsung larian ria sejauh 4 kilometer sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley di sini.

img 0524
MOHAMED Rizwan Abdul Ghafoor Khan menunjukkan poster digital acara Karnival Centenary Stride SK Wellesley 100 Years Run; memuatkan gambar dari atas bangunan sekolah berkenaan yang persis pesawat era Perang Dunia Pertama atau Perang Dunia Kedua, di sini tadi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan, 42, berkata penganjuran acara itu antara lain bertujuan mendapatkan dana bagi projek mengecat semula bangunan sekolah berkenaan.

“Sejak tiga tahun lalu, PIBG SK Wellesley berusaha mendapatkan peruntukan dan alhamdulillah, kami berjaya memperoleh RM10,000.

“Namun, anggaran kos bagi projek mengecat semula ini adalah RM105,000, jadi kami masih memerlukan sumbangan serta tajaan korporat berjumlah RM95,000 lagi.

“Penganjuran Karnival Centenary Stride SK Wellesley 100 Years Run pada 11 Oktober 2025 di perkarangan sekolah merupakan salah satu usaha PIBG untuk menjayakan projek mengecat semula bangunan sekolah yang mempunyai sejarah tersendiri,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini, 4 September 2025.

Ahli Jawatankuasa PIBG SK Wellesley, Mohd. Firdaus Abdul Wahab, 44, turut hadir pada sidang media berkenaan.

effe7c2f 88c2 4279 aaf3 1268db4b9a90Menurut Mohamed Rizwan, usaha mengecat semula bangunan sekolah dianggap penting kerana pihaknya berhasrat menganjurkan majlis khas sempena sambutan ulang tahun ke-100 SK Wellesley pada 26 Disember depan.

“Struktur bangunan sekolah ini sebenarnya unik jika dilihat dari atas, bentuknya menyerupai sebuah kapal terbang era Perang Dunia.

“Saya dimaklumkan bahawa Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; bekas perenang negara, Jeffrey Ong Kuan Seng; penyanyi utama kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam (nama sebenar Thiagarajan K.R. Arumugam) serta komposer terkenal, Datuk Ooi Eow Jin yang banyak mencipta lagu untuk Allahyarham Sudirman Haji Arshad, adalah antara alumni sekolah ini.

“Kami juga sedang berusaha menjemput semua bekas pelajar SK Wellesley, selain para penaja, wakil rakyat dan pemegang taruh lain untuk bersama-sama memeriahkan sambutan nanti.

“Saya berharap acara larian ria ini bukan sahaja mengimbau kenangan pelajar lama yang pernah berjalan kaki ke sekolah beberapa dekad lalu, tetapi juga menjadi perjumpaan semula (reunion) terbesar bekas pelajar sekolah ini.

“Sasaran penyertaan adalah seramai 500 orang yang mana pendaftaran telah dibuka dengan yuran serendah RM50 seorang untuk 200 penyertaan awal, manakala RM60 bagi penyertaan biasa,” katanya sambil memaklumkan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 15 September 2025.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web: howei.com/event_details/.

Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi:

>Azizan (013-422 2820)
>Shafiq (016-859 3439)
>Fairoz (016-464 1132)
>Firdaus (012-566 4482)

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB