Ultra Marathon sulung tarik penyertaan antarabangsa

Oleh: WATAWA NATA F ZULKIFLI
Gambar: LAW SUUN TING

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) pimpinannya akan berusaha sebaik mungkin dalam menjadikan acara Ultra Marathon yang dianjurkan buat julung kalinya pada 6 September lalu sebagai program tahunan.
Menurutnya, penganjuran tersebut bakal membolehkan Pulau Pinang dikenali di seluruh dunia sebagai lokasi larian yang menarik.

“Panorama di Pulau Pinang semestinya menjanjikan pemandangan cantik yang mana pelari boleh menikmati dan ‘merasai’ kepelbagaian bentuk muka bumi menarik seperti pantai, laut,hutan hijau serta bangunan-bangunan warisan yang unik.

“Tarikan ini pastinya akan menjadi buah mulut kepada peserta-peserta antarabangsa dalam mempromosikan Pulau Pinang di samping dapat
menjalankan aktiviti sihat di sini,” ucapnya sebelum melepaskan para peserta Ultra Marathon di sini baru-baru ini.

Ultra Marathon merupakan acara mencabar mental dan fizikal yang mana memerlukan para peserta menamatkan larian melebihi jarak marathon biasa 42 kilometer (km).

Acara dianjurkan pertubuhan belia, BetterPenang dan Active Style Concept turut memperoleh sokongan Kerajaan Negeri serta Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). Ia dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu 50km Ultra, 84km mengelilingi pulau dan 100km mengelilingi pulau serta mendaki sebahagian Bukit Bendera.

Seramai 656 peserta telah mengambil bahagian dan 12 peratus daripadanya merupakan peserta antarabangsa dari Amerika Syarikat, Australia, Britain, Kanada, Republik Czech, Jerman, Italy, Jepun, India, Switzerland, Portugal, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Brunei, Singapura, Indonesia serta China.

Peserta yang menamatkan larian di bawah masa ditetapkan layak mendapat medal serta baju penamat larian.

Peserta dari Amerika Syarikat, Deborah Chinn menjuarai kategori 100km Wanita dengan catatan masa 13:00:11; Munintaran Sundram (Malaysia – Perak, 100km Lelaki, 11:55:37); Christine Loh Woon Chze (Malaysia – Pulau Pinang, 84km Wanita, 10:12:19); Goh Bee Aik (Malaysia – Pulau Pinang, 84km Lelaki, 10:08:53); Cheung Pui Ling Pauline (Hong Kong, 50km Wanita, 05:19:00); Reza Rebuan (Malaysia – Selangor, 50km Lelaki, 04:59:48).