URB MBPP terima basikal elektrik jalankan rondaan

GEORGE TOWN – Unit Rondaan Basikal (URB) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini menerima 10 basikal elektrik voltron bagi melaksanakan rondaan dan pemantauan di sekitar kawasan Tapak Warisan Dunia George Town.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, penggunaan basikal elektrik jenis neotric tersebut diharap dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan anggota penguatkuasa dalam operasi pemantauan dan penguatkuasaan di sekitar bandar, di sini.

Ke arah sebuah negeri pintar dan hijau, MBPP sememangnya sentiasa berusaha untuk maju ke hadapan, justeru kita (Majlis) menggalakkan anggota penguatkuasa kami daripada menggunakan kenderaan motor atau kereta untuk menjalankan tugas kepada alternatif lain yang lebih hijau iaitu berbasikal.

Sekiranya, ada keperluan dan kemampuan, kita akan besarkan skop rondaan melalui basikal ini ke kawasan lain di kawasan George Town,” ujarnya selepas Majlis Pelancaran Basikal Elektrik URB Jabatan Penguatkuasaan di Dewan Bandaraya, di sini pagi ini.

Hadir sama Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Jabatan MBPP serta Ketua Pegawai Eksekutif Voltron, Tan You Soon.

Basikal elektrik buatan syarikat tempatan, Voltron Malaysia Sdn. Bhd. tersebut berharga RM5,400 setiap satu dan dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi terkini seperti Global Positioning System (GPS) tracking, trip recoder dan bantuan pedal sehingga 25 kilometer (km)/jam mengikut piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mengulas lanjut, Tung Seang memberitahu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan juga kini sedang rangka menjalinkan kolaborasi bersama-sama Unit Rondaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

URB kini bergerak di dalam kawasan George Town, malah kita juga dalam rangka menjalinkan kerjasama dengan unit rondaan berbasikal PDRM untuk lebih banyak anggota penguatkuasaan dan polis akan membuat rondaan.

Difahamkan PDRM kini mempunyai 20 basikal elektrik yang digunakan untuk menjalankan rondaan,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, menurut You Soon, MBPP merupakan PBT pertama di dalam negara yang menggunakan basikal elektrik voltron untuk melakukan rondaan.

Sejajar dengan hasrat MBPP untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar pintar, ciri-ciri yang ada pada basikal ini adalah yang terkini dan diiktiraf JPJ mengikut sijil MS 2514.

MBPP adalah PBT pertama di dalam negara yang mengguna pakai ia, dan ada beberapa lagi PBT seperti Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) sedang dalam pertimbangan untuk mengguna pakai basikal ini,” jelas beliau.