Usul tangani kenaikan kos sara hidup, sekuriti makanan dipersetujui tanpa bantahan

Admin

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon pagi ini mengemukakan usul bagi mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup dan sekuriti makanan yang menghimpit rakyat serta menjejaskan pembangunan mampan.

 

Menurut Khai Loon, isu ini amat memberikan kesan kepada semua termasuk rakyat Pulau Pinang.

 

LEE Khai Loon ketika membawakan usul berkaitan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

“Keadaan ini diburukkan lagi, apabila seluruh dunia berdepan pandemik COVID-19, konflik antara Rusia – Ukraine dan perubahan cuaca global yang berlaku secara serentak (perfect storm).

 

Bukan sahaja golongan B40, mereka dalam kelompok M40 juga ‘tersepit’ dengan kenaikan bahan mentah dan harga makanan.

 

“Malah isu jaminan dan keselamatan makanan juga menjadi isu yang turut disentuh oleh Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak dalam ucapan perasmian Dewan Undangan Negeri baru-baru ini,” ujarnya ketika memulakan perbahasan usul tersebut.

 

Tegas Khai Loon, isu berkaitan inflasi dan kenaikan kos sara hidup yang mendadak perlu ditangani secara bersama (antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) pada kadar segera.

 

“Kebanyakan negara luar kini telah ‘mengharamkan’ eksport makanan misalnya India yang ‘mengharamkan’ eksport gandum; Indonesia (minyak kelapa sawit) malah Malaysia juga yang ‘mengharamkan’ eksport ayam ke Singapura.

 

“Jika situasi ini berlanjutan maka ia akan menyebabkan kesan domino (domino effect) terhadap seluruh sektor pengeluaran makanan di negara ini.

 

“Selain itu, ramai dalam kalangan penternak dan peladang mengeluh dengan penetapan harga siling yang menyebabkan mereka mengalami kerugian akibat kenaikan kos pengeluaran seperti harga makanan haiwan yang diimport dan rantaian bekalan terputus.

 

“(Dan) subsidi yang diberikan oleh kerajaan tidak banyak membantu golongan ini kerana turut terkait dengan kekurangan tenaga kerja serta kenaikan kos operasi,” jelasnya yang berharap isu ini mendapat perhatian wajar daripada Kerajaan Persekutuan.

 

KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang antara yang turut mengambil bahagian dalam perbahasan.

Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan mempunyai pelbagai dasar dan perancangan seperti Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0); Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021 -2025 (Pelan DSMN) dan Pelan Induk Pembangunan Jagung Bijian 2018 – 2032, namun negara masih terpaksa berdepan dengan krisis kenaikan harga makanan.

 

“Oleh yang demikian, saya mencadangkan beberapa langkah yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan antaranya mengkaji semula sistem pertanian negara yang mengutamakan penanaman kelapa sawit dan getah dengan mempelbagaikan jenis serta teknik pengeluaran makanan.

 

“Menangani masalah kekurangan pekerja dalam sektor pertanian; menyegerakan pelaksanaan projek Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) sebagai jaminan bekalan dan memberi moratorium atas permohonan tukar syarat tanah pertanian,” usulnya.

 

ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong yang mengambil bahagian dalam perbahasan memetik artikel yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 19 Mei 2022 bertajuk ‘Ringgit jatuh : Harga barang naik, peniaga terjejas”.

 

ONG Ah Teong.

“Berdasarkan artikel ini, apabila nilai ringgit semakin lemah berbanding negara jiran seperti Singapura dan Thailand, maka keadaan ini berpotensi melonjakkan harga barangan pengguna yang diimport.

 

“Maka, akan meningkatkan kos sara hidup sehingga memberi kesan dalam rantaian bekalan yang mana pengguna berada pada akhir rantaian menyebabkan pengguna merasai kesan yang paling ketara sekiranya berlaku kenaikan.

 

“Semasa pemantauan saya di pasar awam baru-baru ini mendapati laporan akhbar (yang disiarkan) itu adalah berasas dan maklum balas daripada peniaga dan pemborong juga mengesahkan bahawa barangan import semakin mahal,” katanya.

 

Tambah Ah Teong lagi, pada 4 Julai 2008, di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (ketika itu) telah melancarkan Program Pemantau Pengguna (Consumer Watch) yang bertujuan memberi pendidikan dan kesedaran tentang hak pengguna sebagai teras utama dalam mewujudkan pengguna yang bijak.

 

“Melalui program ini, kumpulan pemantau akan memantau sebarang kenaikan harga barangan, tidak meletakkan tanda harga, menyimpan barangan terkawal melebihi had serta menggunakan sukat timbang yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

 

“Oleh itu, saya ingin sarankan kepada MMK berkaitan untuk meneruskan serta meluaskan lagi bidang pemantau pengguna ini,” tambahnya lagi.

 

LIM Guan Eng.

Sementara itu, ADUN Air Putih, Lim Guan Eng berasa kesal dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang masih ‘menutup mata’ dan gagal mengambil langkah segera menangani isu ini.

 

 

“Jangan tunggu hingga rakyat terpaksa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ baru hendak bertindak, Kerajaan Persekutuan harus bertindak segera,” tegasnya yang turut menyentuh isu kekurangan pekerja dan nilai mata wang lemah yang ‘menghantui’ ramai peniaga.

 

 

ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; ADUN Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim; ADUN Sungai Dua, Dato’ Muhamad Yusof Mohd. Noor yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang antara yang mengambil bahagian membahaskan usul tersebut yang kemudiannya dipersetujui tanpa bantahan serta diterima oleh Dewan Undangan Negeri.

 

Terdahulu, usul tanpa pemberitahuan ini dipersetujui oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang dan disokong oleh 10 ADUN untuk dibahaskan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR