Usul tergempar kecam kezaliman terhadap Rohingya diterima sebulat suara

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak membawa usul tergempar berhubung kecaman terhadap kezaliman dan penindasan ke atas kaum Rohingya di Myanmar yang tidak berperikemanusiaan.

Usul tergempar tersebut dibawa pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 24 November lalu. Usul dibaca seperti berikut:

“Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang bersidang pada hari ini, mengambil ketetapan untuk membuat usul tergempar, agar Dewan meluluskan usul (mengecam kezaliman dan penindasan ke atas kaum Rohingya, Myanmar yang tidak berperikemanusiaan).

Mutakhir ini, rakyat Malaysia sedia maklum bahawa kaum Rohingya ditindas secara zalim dan tidak berperikemanusiaan. Tragedi terbaru yang melanda umat Islam Rohingya adalah pembunuhan 400 orang awam dan lebih 430 buah rumah di tiga kampung telah dibakar.

Seramai 150 orang wanita termasuk kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun telah dirogol. Manakala sejumlah 3,500 buah rumah telah musnah akibat dibakar setakat ini. Tindakan tersebut adalah kejam dan zalim serta tidak berperikemanusiaan.

Seluruh rakyat Pulau Pinang membantah dan menggesa agar kezaliman tersebut dihentikan serta-merta. Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru agar diambil tindakan ke atas mereka yang zalim dan meminta agar Kerajaan Malaysia agar membuat sesuatu supaya kezaliman ini dihentikan.”

Usul tergempar ini diterima sebulat suara oleh semua 40 ADUN (termasuk 10 ADUN Pembangkang) tanpa dibahaskan.document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);