PENAGA – Kejayaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) perkenalkan varieti padi baharu MR 333 yang dikenali sebagai ‘Menora’ diharap dapat memperkukuh daya saing sektor padi dan beras negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), sejumlah RM36.1 juta diperuntukkan bagi menyokong penyelidikan agensi persekutuan tersebut.
“Varieti MR 333 ini diperkenal sebagai alternatif kepada varieti popular seperti MR 297, MR 315, MR 303 dan MR 307 (yang mana varieti padi baharu ini) dibangunkan khas untuk kawasan jelapang dengan potensi hasil sehingga 9.96 tan per hektar.
“Ia juga terbukti berdaya saing, kerana mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah, justeru saya yakin varieti ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pesawah jika disertai dengan amalan penanaman yang baik,” ujarnya dalam Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI MR 333 di Kampung Lahar Minyak di sini pada 25 Ogos 2025.
Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Kolerasi, Fahmi Zainol; Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Dr. Azman Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd. dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani turut sertai majlis tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu bahawa MR 333 juga mempunyai tempoh matang singkat antara 103 hingga 108 hari, tahan rebah0 serta berat 1,000 biji lebih tinggi iaitu 30.9 gram yang merupakan faktor penting dalam meningkatkan produktiviti ladang.
Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa padi MR 333 ditanam secara kaedah mencedung dengan menggunakan mesin jentanam, yang mana ia mampu meningkatkan keberkesanan pengurusan tanaman serta membawa pulang lebih berbaloi kepada pesawah.
Difahamkan, MARDI ketika ini berjaya menghasilkan sebanyak 58 varieti padi, dengan lebih 95 peratus kawasan jelapang utama negara ditanam menggunakan varieti agensi persekutuan tersebut.
Serentak pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan Geran Agropreneur Muda KPKM berjumlah RM90,000 dan Geran Projek Perintis RMK-12 (sebanyak RM37,140) masing-masing kepada dua penerima serta menyampaikan benih padi MR 333 kepada lima pesawah di bawah Projek Peningkatan Skala Varieti Padi Baharu MARDI MR 333.
Dalam perkembangan lain, beliau yang Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor memberitahu bahawa MARDI diminta menjalankan kajian menyeluruh mengenai keladi agas yang menjadi ancaman kepada tanaman padi di negara ini.
Katanya, kajian tersebut penting bagi mencari kaedah sesuai dalam mengawal pembiakan rumpai berkenaan agar tidak menjejaskan pertumbuhan padi dan seterusnya pengeluaran hasil negara.
“Keladi agas memang merupakan tumbuhan yang lazim ditemui di kawasan sawah padi tetapi masalahnya kini ia merebak dengan begitu cepat sehingga menjejaskan pertumbuhan padi.
“Dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja, rumpai itu boleh memenuhi sawah dan menghalang padi daripada membesar.
“Jadi sebab itu saya minta pihak MARDI membuat kajian supaya kita dapat cari kaedah penyelesaian agar padi dapat tumbuh dengan baik,” jelasnya.
Katanya lagi, KPKM turut melaksanakan usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesawah mengenai kepatuhan terhadap prosedur operasi standard kawalan yang ditetapkan bagi penggunaan racun untuk mengawal keladi agas.
“Kita sebenarnya sudah ada SOP untuk penggunaan racun bagi mengawal keladi agas.
“Sebagai contoh, ketika penyediaan tanah kita perlu melakukan semburan, kemudian antara 15 hingga 18 hari selepas menanam padi kita minta pesawah mematuhi SOP ini supaya pembiakan keladi agas dapat dikawal,” tegasnya.
Selain bergantung pada penggunaan racun, beliau berkata bahawa pihaknya juga menggalakkan kaedah penanaman semula menggunakan sistem pelantar bagi mengurangkan pertumbuhan rumpai secara semula jadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD