Video ‘Penang2030: Seiring Sehati’, tampil kisah rakyat hayati visi negeri

Admin
img 20250721 wa0107

GEORGE TOWN – Pelancaran siri video pendek Visi Penang2030 bertemakan ‘Penang2030: Seiring Sehati’ menjadi wadah dengan menampilkan kisah-kisah rakyat Pulau Pinang dalam menghayati Visi Penang2030 sejak tahun 2018.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa siri video pendek menampilkan kisah-kisah benar rakyat dari pelbagai latar belakang yang berubah secara signifikan hasil pelaksanaan dasar serta inisiatif Visi Penang2030 di bawah Kerajaan Negeri.

Sejak saya perkenalkan Visi Penang2030 pada tahun 2018, ia bukan sekadar menjadi kompas (yang menunjukkan) hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri malahan janji kepada rakyat berlandaskan kemakmuran bersama, kemampanan, kesejahteraan sosial dan keterangkuman.

“Visi Penang2030 ini bukanlah satu retorik, tetapi sebuah realiti yang memberi kesan nyata dalam kehidupan harian rakyat baik dari segi peningkatan kemudahan awam, pendidikan, kesihatan, inovasi digital serta kebajikan masyarakat,” ujarnya dalam sidang media di Komtar pada 21 Julai 2025.

Mengulas mengenai video pendek tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Komunikasi memaklumkan bahawa terdapat 12 siri yang mana akan dipaparkan menerusi laman sesawang dan media sosial Penang2030.

“Antara kisah yang paling menyentuh hati adalah sebuah keluarga kehilangan rumah akibat fenomena hakisan laut.

“(Dan) dengan bantuan Kerajaan Negeri, mereka berjaya memperoleh rumah kos rendah yang menjadi simbol harapan serta permulaan baharu.

“Turut dipaparkan adalah kisah seorang wanita luar bandar yang kehilangan pekerjaan, lalu bangkit memulakan perniagaan sos dan kicap hasil sokongan Kerajaan Negeri, kini mampu menyara keluarga serta menjadi sumber kebanggaan.

“Kisah-kisah ini bukan sahaja membuktikan keberkesanan dasar-dasar Kerajaan Negeri, malah memberi naratif baru bahawa setiap insan tanpa mengira latar belakang berhak mendapat peluang kedua dan menikmati masa depan yang lebih baik,” katanya.

Pada sidang media sama, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada semua terutama mereka yang sudi berkongsi kisah hidup secara jujur dan terbuka dalam menjayakan penghasilan siri video tersebut.

Tanpa kerjasama semua, Visi Penang2030 tidak mungkin dapat dizahirkan dalam bentuk yang begitu menyentuh hati dan amat bermakna.

“Saya ingin menyeru seluruh rakyat Pulau Pinang untuk terus melangkah ke hadapan seiring dan sehati dengan iltizam yang teguh untuk membina sebuah negeri yang maju dari segala aspek.

“Visi Penang2030 bukan sekadar milik Kerajaan Negeri tetapi aspirasi kita bersama, warisan kepada generasi akan datang,” serunya.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya akan menerima laporan secara berkala setiap tiga bulan bagi melihat kemajuan dan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan di bawah Visi Penang2030.

“(Hal ini) bagi memastikan inisiatif berkaitan relevan dan memberi kesan yang optimum kepada rakyat.

Walaupun selepas tempoh saya (sebagai Ketua Menteri) tamat, saya berharap segala inisiatif di bawah Visi Penang2030 dapat diteruskan terutama melibatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri ini.

“Saya berharap, visi ini meninggalkan asas yang kukuh dan menjadi legasi untuk masa depan Pulau Pinang yang lebih baik,” ulasnya lanjut.

Difahamkan, setakat hari ini sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan inisiatif strategik di bawah Visi Penang2030 telah berjaya dan sedang dilaksanakan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMMAD AMIR IRSYAD OMAR