GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melangkah setapak lagi ke hadapan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan digital dengan melancarkan inisiatif Virtual Island of Penang (VIP).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif penting itu bukan sahaja dapat memperkukuh ekosistem digital negeri, malah memperlihatkan kesungguhan MBPP dalam mendukung aspirasi Kerajan Negeri untuk kekal relevan, kompetitif dan menjadi peneraju pada peringkat serantau serta global.
Beliau berkata, VIP bukan hanya menyokong perancangan bandar sistematik, malah inisiatif tersebut juga berperanan sebagai medium komunikasi yang cekap, telus dan mesra rakyat.
“Pendekatan ini merupakan langkah strategik yang signifikan dalam merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri moden, mampan dan berdaya saing, khususnya dalam menghadapi landskap ekonomi serta teknologi digital yang kian mencabar dan dinamik.






“Ia turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasa agenda transformasi digital demi manfaat rakyat serta kelestarian pembangunan negeri secara holistik.
“Saya amat berbangga dengan kepimpinan Datuk Bandar MBPP serta seluruh pasukannya yang telah menerajui inisiatif penting ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Transformasi Digital VIP dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; barisan Ahli Majlis MBPP serta Pengarah Perancangan Pembangunan MBPP, TPr. Gs. Mohd. Bashir Sulaiman.
Selain memperkukuh agenda Penang2030, Kon Yeow memberitahu bahawa pelaksanaan VIP juga selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang bakal memberi tumpuan kepada ekonomi digital, pengukuhan infrastruktur pintar, kesejahteraan rakyat serta agenda hijau dan mampan.
“Transformasi digital serta pembangunan bandar pintar adalah tonggak penting ke arah tadbir urus yang lebih efisien, perancangan pembangunan sistematik serta peningkatan kualiti hidup rakyat.
“Melalui sistem VIP ini, kita yakin ia mampu mempercepatkan adaptasi teknologi pintar dalam penyampaian perkhidmatan, mempertingkat kecekapan pengurusan bandar serta memudahkan interaksi maya antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan komuniti.
“Malah, inisiatif ini turut menyokong pertumbuhan ekonomi digital negeri serta memperkukuh daya saing Pulau Pinang sebagai hab inovasi dan teknologi serantau,” ujarnya.
Dalam sidang media selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pelaksanaan VIP akan meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan, pengurusan bandar dan kutipan hasil serta memudahkan rakyat mengakses maklumat yang mereka perlukan.
“Pelancaran VIP pada hari ini telah memperkenalkan 11 kes penggunaan.
“Sekiranya ada keperluan, kita akan kembangkan lagi aplikasi ini dengan lebih banyak kes penggunaan seperti tindakan menangangi kecemasan bencana, penguatkuasaan dan lain-lain yang mungkin boleh dicipta melalui platform ini,’’ katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru supaya kerajaan menyediakan peruntukan kepada semua PBT untuk membolehkan sistem tersebut dilaksanakan secara lebih menyeluruh di negara ini.
“PBT merupakan penyedia perkhidmatan penting yang menyantuni rakyat dengan lebih dekat.
“Sekiranya setiap PBT ada sistem ini, maka Malaysia akan menjadi negara yang mengintegrasikan digital dalam menyantuni rakyat.
“Oleh itu, PBT lain tidak perlu melalui perjalanan yang panjang dan hanya perlu menggunakan model yang dibangunkan oleh MBPP dengan suntikan dana daripada pihak kerajaan,” ulasnya.
Sementara itu, Mooi Lye menyatakan bahawa inisiatif VIP juga turut akan dipertimbangkan untuk diperluaskan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Namun begitu, MBSP tidak perlu melalui perjalanan yang panjang seperti MBPP, tetapi mereka perlu merujuk kepada modul ini dan mengaplikasikannya di kawasan Seberang Perai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Rajendran memaklumkan bahawa sistem yang dibangunkan sejak tahun 2020 itu menelan kos RM14 juta.
“Inisiatif ini merangkumi 10 modul pintar yang dibangunkan oleh MBPP bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dengan tiga daripada modul tersebut adalah yang pertama di Malayaia.
“Modul yang dibangunkan adalah dengan ciri-ciri tersendiri seperti Weather Monitoring and Disaster Management, Geotechnical Slope Monitoring and Control serta Tree Inventory dan Inspection Module.
“Kini, kita telah menerapkan unsur-unsur sains data dengan bantuan teknologi remote sensing dan Light Detection and Ranging (LiDAR) bersama predictive and generative Artificial Intelligence (Al).
“Ini menjadikan modul-modul ini lebih berkesan, efisien dan menarik dengan maklumat masa nyata untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan MBPP serta membolehkan intervensi dan langkah-langkah penyelesaian diambil segera,” katanya.
Mengulas lanjut, Rajendran berkata, sebahagian daripada ciri-ciri yang terdapat di dalam modul tersebut boleh diakses oleh orang awam seperti laporan pemantauan bencana dan bilangan dan lokasi AED (Automated External Defibrillator).
“Orang ramai boleh mengakses sebahagian data dan maklumat VIP ini melalui applikasi Pearl Apps,” katanya sambil menambah aplikasi tersebut akan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD