Wajah baharu Klinik Desa Padang Menora simbol perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat luar bandar

Admin
90b7996d 9279 4a0d acf1 e904c7092765 WAJAH baharu Klinik Desa Padang Menora.

KLINIK Desa Padang Menora yang kembali beroperasi di tapak asalnya kini dianggap sebagai satu lagi mercu tanda Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang senantiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara di kawasan luar bandar.

Luas lantai klinik desa awam itu bukan sahaja lebih luas berbanding sebelum ini, malah dilengkapi dengan kemudahan seperti penyaman udara yang sudah tentu meningkatkan keselesaan buat para pengunjung bagi membuat pemeriksaan kesihatan berkaitan ibu dan anak.

Tidak setakat itu sahaja, dengan penyediaan kawasan parkir tambahan di bahagian belakang bangunan Klinik Desa Padang Menora tersebut, sudah tentu tidak lagi memaksa pengunjung meletak kenderaan sampai di bahu jalan utama di sini.

img 9962
MUHAMMAD Syazwan Shah Zulkefli

Demikian kata MUHAMMAD SYAZWAN SHAH DZULKEFLI, 31, seorang kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam sesi temu ramah bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR di perkarangan Klinik Desa Padang Menora di sini pada 5 Ogos 2025.

“Waktu isteri saya, Norhidayu Mohd. Subbri (31 tahun) mengandungkan anak pertama kami (Nor Hana Safiya Muhammad Syazwan Shah, kini berusia 3 tahun), saya pernah datang ke bangunan klinik lama di sini untuk memenuhi pemeriksaan rutin berwajib.

“Pada pagi ini, saya datang menemani isteri untuk membuat pemeriksaan kandungannya, serta membuka ‘buku merah jambu’ untuk anak kedua kami.

“Berbanding kemudahan yang ada di bangunan lama pada waktu itu dengan bangunan baharu yang ada pada hari ini memang banyak berbeza, kemudahan penyaman udara yang dipasang hari ini memang memberi keselesaan kepada pengunjung.

“Bagi saya, tidak kira sama ada di kawasan bandar yang serba maju dengan pelbagai mercu pembangunan ataupun kawasan luar bandar yang dikatakan jauh dari pembangunan asas, kalau kerajaan hendak meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam negara, projek runtuh dan bina semula klinik-klinik daif sampai telah wujud Klinik Desa Padang Menora di sini sekarang wajar diperluas ke kawasan-kawasan luar bandar lain.

“Projek penaiktarafan klinik atau fasiliti daif di kawasan luar bandar seperti yang berjaya ditunjukkan dalam (projek bina baharu) Klinik Desa Padang Menora akan merelevankan kerajaan hari ini dengan rakyat setempat,” jelasnya yang kini bermastautin di Taman Guar Perahu.

06e332d6 3a49 4859 955b 4cb53bc75058
MUHAMMAD Syazwan Shah Zulkefli bersama-sama isteri dan anak merakamkan gambar kenang-kenangan di perkarangan luar Klinik Desa Padang Menora di sini pada pagi tadi (5 Ogos 2025).

Suri rumah sepenuh masa, NURUL ATIKAH MOKHTAR, 27, yang ditemui kemudian memberitahu bahawa beliau ke Klinik Desa Padang Menora pada awal pagi ini bagi memenuhi janji temu pemeriksaan rutin anak sulungnya, Ammar Amsyar Abu Yazid, yang berusia 2 tahun 6 bulan.

“Saya memang pernah membuat pemeriksaan rutin di klinik lama ini semasa Ammar Amsyar masih dalam kandungan dulu lagi.

“Kalau dahulu, walaupun ada kipas dipasang untuk pengunjung, keadaan dalam klinik lama tetap panas sebab cuaca di luar memang panas pada waktu tengah hari.

“Dengan pemasangan kemudahan seperti penyaman udara di bangunan baharu Klinik Desa Padang Menora hari ini, saya dan anak berasa cukup selesa.

“Ditambah pelbagai kemudahan di Klinik Desa Padang Menora sekarang ini, sekali gus mengubah persepsi orang awam konon-konon mutu perkhidmatan (kesihatan awam) tidak boleh setanding dengan klinik-klinik swasta di luar sana.

“Selain itu, saya lihat pada jururawat yang bertugas di Klinik Desa Padang Menora begitu informatif dan dedikasi apabila berkongsi info mengenai isu-isu semasa berkaitan kesihatan di Pulau Pinang.

“Oleh kerana kes campak meningkat kebelakangan ini, maka (JKNPP) menawarkan suntikan vaksin secara percuma kepada kanak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah, jadi jururawat di sini mencadangkan supaya anak saya mendapatkan suntikan vaksin percuma hari ini,” katanya lagi.

2865aad6 3280 4c8e ab0b 87cb569f68db
KAWASAN lapang di bahagian belakang bangunan Klinik Desa Padang Menora turut menyediakan petak parkir tambahan untuk pengunjung di sini.
2e497612 0e26 466f bae7 268ffcc47f4e
SESI temu ramah salah seorang ibu muda di Klinik Desa Padang Menora di sini tadi.

Seorang lagi suri rumah sepenuh masa, INTAN SYAFINAH MOHAMAD, 33, yang ditemui kemudian turut memuji ‘wajah baharu’ Klinik Desa Padang Menora di samping dedikasi para petugas kesihatan di klinik kerajaan tersebut.

“Saya tahu Klinik Desa Padang Menora ditutup sepenuhnya sebelum ini bagi memberi laluan pada projek runtuh dan bina semula bangunan kemudahan yang baharu.

“Pada pagi ini, saya memenuhi janji temu iaitu pemeriksaan rutin kandungan saya.

“Saya berasa nyaman dan selesa kerana Klinik Desa Padang Menora ini khusus untuk ibu dan anak…jadi jumlah pengunjung semasa tidaklah seramai Klinik Kesihatan Tasek Gelugor (yang turut menerima daftar pesakit luar).

“Sejujurnya, saya suka ‘wajah baharu’ klinik desa ini yang dilengkapi penyaman udara serta kemudahan-kemudahan lain termasuk bilangan petak parkir kenderaan yang banyak (di bahagian belakang bangunan klinik),” jelasnya lagi sambil memuji inisiatif KKM, JKNPP dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam di kawasan luar bandar di sini.

Seorang lagi responden yang enggan identitinya diketahui umum memberitahu bahawa di JKNPP wajar melihat isu ketidakcukupan petugas kesihatan bertauliah jika turut dihadapi di Klinik Desa Padang Menora sendiri.

“Lambakan pesakit pada waktu tertentu di klinik-klinik kerajaan sebenarnya melambangkan bahawa klinik-klinik ini sebenarnya menjadi pilihan utama rakyat termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kalau ditanya kepada saya, ini melambangkan rakyat sangat menghargai segala usaha KKM, JKNPP dan PKD dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam negara, mengikut lokaliti setempat.

“Justeru, tidak memadai KKM memenuhi ekspektasi pelanggan yang datang ke Klinik Desa Padang Menora umpamanya; perlu ditangani isu kekurangan petugas kesihatan terlatih dari semasa ke semasa di klinik desa sebenarnya turut membantu petugas kesihatan itu sendiri dari segi emosi semasa menanggung tugas di lapangan kerja,” ujarnya.

Pada 23 September 2023, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 antara lain menyatakan iltizam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan awam negara, mengikut keperluan lokal rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Antara lain, turut diumumkan Adalah peruntukan sebanyak RM150 juta untuk KKM menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara klinik serta fasiliti daif bagi tahun semasa.

Daripada jumlah peruntukan fiskal kepada KKM itu, Pulau Pinang menerima sebanyak RM4.5 juta untuk projek pembangunan berkaitan yang melibatkan 11 klinik dan fasiliti daif, termasuk projek runtuh dan bina baharu Klinik Desa Padang Menora pada Februari tahun lepas.

img 9967
DANIEL Gooi Zi Sen dalam sidang media berkaitan di perkarangan hadapan bangunan lama Klinik Desa Padang Menora di sini pada 27 Februari 2024.

Pada 27 Februari 2024, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memberitahu bahawa Klinik Desa Padang Menora dibina pada tahun 1962, berusia lebih 62 tahun serta terangkum dalam projek runtuh dan bina baharu, dengan peruntukan KKM sebanyak RM800,000.

Pada tengah hari tadi, Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang ketika cuba dihubungi untuk mendapatkan respons berhubung pembukaan semula Klinik Desa Padang Menora sejak 20 Januari 2025 di tapak asal klinik tersebut, memberitahu akan berkongsi informasi lanjut kelak.

END