Wajib ada tong sampah

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

PERAI – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) komited dalam usaha memerangi wabak denggi dan pembuangan sampah haram apabila Ops Kompaun yang dijalankan awal April ini akan ditingkatkan menerusi penguatkuasaan serta pemeriksaan secara berkala.

Menurut Ahli Majlis bagi MPSP, M. Satees, langkah itu diambil bagi memastikan penduduk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan berhubung perkara-perkara berkaitan.

Beliau berkata, mana-mana pemilik premis atau penduduk yang tidak memiliki tong sampah akan dikenakan kompaun serta-merta.

“Langkah ini adalah untuk memastikan tiada lagi penduduk atau pemilik premis melonggokkan sampah di merata-rata tempat sekaligus membasmi tapak pembuangan sampah haram.

“Pemeriksaan akan secara kerap dijalankan untuk memastikan setiap penduduk memiliki tong sampah yang diletakkan di hadapan atau belakang rumah masing-masing,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Tambah Satees, penguatkuasaan tersebut sekaligus akan memudahkan proses kerja kutipan sampah secara berjadual di samping memelihara kesihatan serta kebersihan komuniti di sini.

“Selain menjaga kebersihan sekitar kediaman, ops ini secara tidak langsung dapat memelihara kesihatan dan memastikan pembiakkan aedes dapat dikekang dan penyakit bawaan vektor dapat dikawal.

“Pemeriksaan awal mendapati masih ada penduduk yang tidak mempunyai tong sampah sendiri dan bertindak meletakkan sampah di hadapan rumah…diharap mereka dapat mengikut peraturan ini bagi mengelakkan dikompaun,” tegas beliau.