Keluarga terharu dan berterima kasih

Admin

GEORGE TOWN – Keluarga mendiang Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh melahirkan rasa terharu serta berterima kasih kepada semua pihak terlibat dalam upacara pengebumian penghormatan negeri (state honour funeral) mendiang yang lancar dan menerima kehadiran luar jangkaan 50,000 orang dari seluruh negara dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu di sini.

Luahan tersebut dinyatakan anak sulung mendiang, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan pada sidang akhbar ringkas di sini baru-baru ini.

Katanya, beliau bagi pihak keluarga amat berterima kasih dengan segala pengaturan, pengurusan dan pengawalan bermula pada hari Khamis (17 April lalu) di Ipoh, Perak (Hospital Ipoh) hingga upacara penghormatan di Dewan Sri Pinang (20 April lalu) pihak-pihak terbabit.

“Terima kasih kepada YB Chow Kon Yeow selaku Pengerusi Penyelarasan Majlis Penghormatan, Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Air Itam yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) Jeff Ooi (Ahli Parlimen Jelutong), PPS (Pasukan Peronda Sukarela), YB Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), ahli-ahli parti dan kehadiran umum di luar jangkaan.

“Juga terima kasih kepada kawan-kawan media. Saya memohon maaf sekiranya menyinggung perasaan kawan-kawan media ketika di Krematorium Batu Gantung.

“Ini kerana, ia adalah saat yang amat emosional bagi ahli keluarga dan terima kasih kerana memahami,’’ ujarnya.

 Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Gurmit Kaur (balu mendiang) serta ahli-ahli keluarga terdekat mendiang turut hadir pada sidang media itu.

Hadir sama, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Lee Chun Kit dan D.S. Harvinder Singh.

Dalam pada itu, Gurmit dalam nada sebak turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak berwajib yang menguruskan majlis perhormatan terakhir kepada mendiang suaminya.