PENANTI – Komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi pendidikan Islam berasaskan wakaf diteruskan dengan penubuhan Sekolah Islam Antarabangsa Al-Mashoor di Jalan Kelawei dekat George Town.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, sekolah yang dibangunkan dengan peruntukan sebanyak RM11.8 juta itu bakal menjadi Sekolah Islam Antarabangsa pertama di wilayah utara dan dijangka beroperasi pada September tahun ini.
“Ini merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dalam memperkukuh sistem pendidikan Islam yang holistik dan berasaskan wakaf.
“Seiring dengan matlamat pendidikan wakaf, Tabung Dana Wakaf Pendidikan Pulau Pinang yang bertemakan ‘Kelestarian Ilmu Bermula Di Sini’ dilancarkan sebagai pemacu utama pembangunan prasarana dan sokongan pendidikan kepada pelajar berpotensi.
“Wakaf pendidikan adalah satu inisiatif yang menghubungkan amal jariah dengan pembinaan generasi berilmu dan berakhlak.
“Tabung ini akan menyediakan prasarana yang selesa, menyokong pendidikan digital serta pembangunan sahsiah,” ujarnya ketika merasmikan Karnival Islami Masyarakat Madani Jelajah Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti, di sini pada 17 Jun 2025.
Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Marzuki Hassan; Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Mohamad Kairi Ghazali.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, tabung dana wakaf tersebut turut berperanan membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian melalui pusat keilmuan yang kompetitif dan berdaya tahan.

Beliau dalam pada itu menyorot sejarah penubuhan institusi pendidikan wakaf di negeri ini, bermula dengan Madrasah Al-Mashoor yang diasaskan pada tahun 1916.
“Madrasah ini kemudian berkembang menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor dan seterusnya penubuhan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Balik Pulau pada tahun 2004.
“Sejarah panjang Madrasah Al-Mashoor membuktikan bahawa betapa pentingnya instrumen wakaf dalam memajukan sosioekonomi ummah, terutama dalam bidang pendidikan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Sebagai sebahagian daripada usaha menjayakan Pelan Tindakan Wakaf MAINPP, satu reruai wakaf khas turut disediakan di lokasi program bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk turut serta dalam menyumbang melalui wakaf tunai.
Karnival Islami Masyarakat Madani Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pada kali ini menyelitkan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat kepada komuniti pendidikan yang terdiri daripada sekolah-sekolah yang berada di daerah Seberang Perai Tengah (SPT). Antara aktiviti yang diadalah adalah seperti pertandingan bola baling, pertandingan nasyid dan pidato bertemakan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030 (APAI 2030).
Turut diadakan gerai-gerai jualan produk halal, pameran daripada agensi-agensi Islam negeri, jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).