Wakil rakyat, MPKK buat persiapan awal bantu penduduk hadapi gangguan bekalan air berjadual

img 20250425 wa0029

RATA-RATA wakil rakyat dengan dibantu oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan masing-masing giat melakukan persiapan awal bagi membantu penduduk menghadapi gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama 24 hingga 48 jam bermula 10 malam hari ini.

Di kebanyakan tempat, wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mahupun Ahli Parlimen berusaha menyediakan pelbagai bentuk informasi serta tangki air untuk memastikan bekalan air sampai kepada penduduk dalam tempoh SWSI.

Di kawasan Batu Lancang, ADUNNya Ong Ah Teong memberitahu bahawa beberapa tong air bersaiz besar telah ditempatkan di lokasi strategik, termasuk di Pangsapuri Jalan Kurau, Pangsapuri Bata Merah Batu Lanchang, dan Pangsapuri Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di kawasan itu.

img 20250425 wa0027
Ong Ah Teong membantu salah seorang penduduk mengangkat tangki untuk ditempatkan di lokasi yang ditetapkan.

“Di Pangsapuri Jalan Kurau dan Pangsapuri Bata Merah, kita telah disediakan tong air berkapasiti 1,500 liter, manakala pangsapuri MBPP pula disediakan tong berkapasiti 1,000 liter.

“Di samping itu, satu tong air berkapasiti 1,500 liter turut ditempatkan di Pasar Jalan Kurau dan Pasar Jalan Perak, manakala di Pasar Batu Lanchang, pihak MBPP akan menguruskan penyediaan kemudahan air simpanan,” katanya.

Selain menyediakan tong Air, Ah Teong berkata pihaknya juga telah mencetak sebanyak 15 buah rentang berkaitan gangguan bekalan air dan digantung di laluan utama sekitar kawasan Batu Lancang.

“Sebanyak 80 helai poster turut diedarkan dan ditampal di kira-kira 35 hingga 40 blok pangsapuri bagi memastikan maklumat gangguan bekalan air sampai ke setiap isi rumah,” ujarnya.

Meskipun kawasan Batu Lanchang dijadualkan hanya akan terjejas selama 24 jam, namun Ah Teong menyeru penduduk untuk menyimpan air yang mencukupi untuk tempoh sehingga 48 jam sebagai langkah berjaga-jaha terhadap sebarang kemunkinan yang akan berlaku.

“Kerjasama dan kesiapsiagaan penduduk sangat penting untuk memastikan mereka dapat menghadapi situasi ini dengan tenang dan teratur,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun, Ester Oh memberitahu bahawa sebanyak 32 tangki air telah disediakan kepada penduduk di 20 lokasi di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun.

img 20250425 182051
Ester Oh.

“Atas inisiatif ADUN Bukit Tambun, YB Goh Choon Aik, kami telah menempatkan 32 unit tangki di beberapa lokasi yang telah dikenal pasti terutamanya di kawasan yang berpenduduk padat mulai semalam.

“Justeru, penduduk di sekitar kawasan berkenaan boleh mendapatkan bekalan air dari tangki yang disediakan sehingga bekalan air kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, antara lokasi yang ditempatkan tangki air adalah Flat Merak Jaya (2), Flat Tambun Indah (2), Flat Tambun Jaya (2), Flat Belibis (2), Flat Jentayu (2), Flat Merpati Indah (2), Flat Murai Jaya (2) dan Taman Bukit Tambun (Perda) sebanyak 2 unit.

Selain itu, tangki air turut ditempatkan di Taman Bukit Tambun iaitu di Surau Belibis (1), Surau Taman Merak (1), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tangling Indah (1), Flat Bakap Indah (2), Flat Gamelan (2), Flat Gamelan Indah (2), Flat Bakap Indah (2), Dewan Persatuan Taman Ketitir (2) dan Kampung Baru (1).

Beberapa lagi tangki telah ditempatkan di belakang Balai Polis Simpang Ampat iaitu di Flat Taman Kendi (1), Surau Taman Belibis (1) dan sebuah tong putih diletakkan di Pusat Kawalan MPKK Kg Baru.

Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Mahsuri, Syed Baharuddin Syed Hashim berkata, satu unit tangki statik bersaiz besar turut disediakan bagi manfaat penduduk di kawasan MPKK Mahsuri dekat Pantai Jerejak.

img 20250425 wa0048
Tangki yang ditempatkan di kawasan MPKK Mahsuri Pantai Jerejak.

“Pihak PBAPP akan mengisi air ke dalam tangki ini mengikut jadual ditetapkan.

“Sekiranya bekalan air masih tidak mencukupi, pihak kami akan menghantar bantuan air tambahan dari lori PBAPP ke Surai Zillus Solihin di sini,” katanya.

Semalam, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggerakkan lebih 80 buah lori tangki sebagai persediaan awal bagi menghadapi SWSI turut melibatkan beberapa buah syarikat operator bekalan air dari negeri lain seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah dan Perak.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pada masa yang sama, PBAPP turut menempatkan beberapa buah tangki air di lokasi-lokasi strategik untuk kemudahan penduduk setempat mendapatkan bekalan air.

“Buat masa ini, kita telah sediakan sebanyak 111 buah tangki statik yang setiap satunya berkapasiti 2,000 liter, 71 tangki fleksibel (berkapasiti 24,000 liter) dan 23 tangki jumbo yang berkapasiti sehingga 50,000 liter setiap satu.

img 20250425 wa0035img 20250425 wa0032img 20250425 wa0034

“Pengagihan bekalan air ini pula kita akan buat secara berperingkat-peringkat di mana ada kawasan yang akan menerima bekalan air seawal tempoh 24 jam dan ada kawasan yang akan menerima bekalan selepas 48 jam atau sehingga tempoh maksimum iaitu 60 jam,” katanya dipetik.

Zairil berkata, pihaknya memahami masalah yang dihadapi oleh sesetengah penduduk khususnya di kawasan yang sering menghadapi isu gangguan air sebelum ini seperti di Mukim 5, Sungai Bakap di Seberang Perai Selatan (SPS) dan lain-lain.

Justeru, beliau berkata perhatian yang lebih akan diberi kepada kawasan-kawasan ini selain beberapa kawasan lain dalam daerah Barat Daya khususnya di Bayan Lepas dan Teluk Kumbar yang sering berdepan masalah yang sama sehingga menjejaskan urusan seharian penduduk.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri dan PBAPP sekali lagi memberi jaminan bahawa bekalan air yang kita sediakan adalah mencukupi untuk tempoh sehingga 60 jam atau sehingga semua tempat menerima bekalan air seperti biasa,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN & MPKK