Wanita nadi pembangunan negeri, kadar penyertaan tenaga kerja 57.6 peratus – Timbalan Menteri

Admin
ff3d46a2 48e6 4fca aee6 53afcd827dad LIM Hui Ying (depan, kanan) dengan diiringi Baderul Amin Abdul Hamid (belakang, kanan), Faridah Awang (belakang, tengah) dan Ahmad Shukri Jamaluddin (belakang, kiri) turut meluangkan masa melawat gerai pameran kraftangan salah seorang usahawan wanita lokal sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Negeri Pulau Pinang di lobi Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya pada 4 Februari 2026.

GEORGETOWN – Kadar penyertaan tenaga kerja dalam kalangan wanita di negeri Pulau Pinang kini adalah kira-kira 57.6 peratus, lebih tinggi berbanding 56.9 peratus yang direkodkan peringkat kebangsaan, serta menghampiri sasaran 60 peratus pada 2033.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata bahawa rekod itu bukan sahaja melambangkan peranan wanita yang penting dalam agenda pembangunan ekonomi negara, malah sekali gus memperkukuh pasaran buruh nasional dan negeri.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan sosial tidak akan tercapai tanpa penglibatan aktif golongan wanita,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong seusai merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Antarabangsa Negeri Pulau Pinang di Auditorium, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 4 Februari 2026.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MSBP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Faridah Awang; dan Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin turut sertai majlis tersebut.

Ditanya lanjut, Hui Ying memaklumkan bahawa 57.6 peratus angka penyertaan buruh wanita di negeri Pulau Pinang itu dilihat selari dengan usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan sektor pembuatan dan semikonduktor, industri dan teknologi, pendidikan dan ekonomi kreatif sebagai penggerak pembangunan.

Tambah beliau, pada peringkat kementerian sendiri ketika ini sedang memberi tumpuan pada pelaksanaan program berorientasikan peningkatan kemahiran serta mengasah semula bakat dalam kalangan wanita termasuk suri rumah bagi memperkukuh rekod penyertaan tenaga kerja wanita nasional.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD