GEORGE TOWN – Seramai 53 waris orang kurang upaya (OKU) yang telah meninggal dunia dan berdaftar di bawah Program i-Sejahtera Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM1,000 sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pengurusan Jenazah OKU 2015 di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan berupaya memberi keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, jantina atau latar belakang politik.
“Kita (Kerajaan Negeri) sentiasa peka dan mencari jalan bagi membantu semua rakyat Pulau Pinang terutamanya golongan istimewa ini (OKU).
“Berdasarkan rekod, seramai 8,664 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pulau Pinang (JKMPP) melalui sistem i-sejahtera Kerajaan Negeri dan memperoleh sumbangan tahunan bernilai RM100 dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM866,400.00 bagi tahun 2015.
“Malah, bagi majlis hari ini, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang (JKMPP) memperuntukkan RM53,000 untuk diserahkan kepada waris-waris OKU berdaftar yang telah meninggal dunia,” katanya pada majlis berkaitan.
Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Pengarah JKMPP, Said Sidup.
Pada majlis berkaitan, seramai 15 penerima adalah dari Daerah Timur Laut, Daerah Barat Daya (7), Daerah Seberang Perai Utara (9), Daerah Seberang Perai Tengah (7) dan Seberang Perai Selatan (15).
Dalam pada itu, bagi salah seorang waris, Noorzafirah Abdul, 28, beliau bersyukur dengan sumbangan yang diterima bagi pihak ibunya, Allahyarhamah Noriah Saari, 58, yang telah kembali ke rahmatullah September 2014.
“Syukur, alhamdulillah, sumbangan ni akan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Insya Allah, kami bercadang nak adakan kenduri tahlil dan doa selamat buat arwah mak dan abah,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Noorzafirah memberitahu bahawa kedua-dua ibu bapanya merupakan OKU.
“Arwah mak meninggal disebabkan serangan strok selama empat tahun. Dia (Noriah) lumpuh kaki sejak kecil. Arwah abah pula cacat penglihatan dan dah meninggal lama.
“Sebelum ni (arwah abah) tak pernah terima apa-apa bantuan. Terima kasih Ketua Menteri,” ujar beliau.
document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);