Kategori baharu RMM, realisasi impian miliki rumah pertama

GEORGE TOWN – Bagi merealisasikan impian rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah pertama serta layak mendapat pinjaman perumahan di bank, Kerajaan Negeri baru-baru ini mengumumkan kategori baharu bagi rumah mampu milik (RMM) berharga RM150,000.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dalam satu sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, sebelum ini, Kerajaan Negeri hanya memperkenalkan tiga kategori RMM dengan siling pendapatan isi rumah masing-masing antara RM6,000; RM8,000 dan RM10,000 bagi harga rumah antara RM200,000; RM300,000 dan RM400,000.

“Selepas mengambil kira beberapa faktor semasa terutama apabila sektor perbankan menganggap kategori tersebut (sebelum ini) sebagai terlalu berisiko dengan kadar penolakan permohonan pinjaman bank amatlah tinggi, Kerajaan Negeri membuat keputusan agar siling pendapatan isi rumah dinaikkan kepada RM8,000; RM10,000 dan RM12,000 masing-masing bagi kategori sebelum ini dengan memperkenalkan kategori baharu iaitu RM150,000 bagi mereka yang berpendapatan isi rumah RM6,000,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Datuk Keramat.

Tambah Jagdeep, unit bagi kategori tersebut adalah berkeluasan minimum 750 kaki persegi, tetapi tanpa kemasan akhir (berbanding harga unit rumah RM200,000 yang mempunyai kemasan).

Tambah beliau, dalam usaha merangsangkan penjualan rumah mampu milik di negeri ini, Kerajaan Negeri turut meluaskan kumpulan sasaran pembeli yang layak.

“Sungguhpun pasaran bagi penjualan rumah mampu milik di negara dilihat perlahan dengan ketidaktentuan nilai ringgit kini, namun, Kerajaan Negeri percaya, dengan adanya kategori baharu ini, pasaran hartanah di Pulau Pinang akan terus rancak.

“Tambahan pula, mereka yang sudah memiliki rumah juga layak untuk memohon bagi kategori keempat (bagi rumah mampu milik) ini.

“Bagaimanapun, mereka yang hendak memohon mestilah pengundi berdaftar di Pulau Pinang dan hanya layak membeli satu unit rumah mampu milik serta layak memohon selepas tempoh lima tahun dari tarikh penyerahan kunci rumah terdahulu,” ujarnya yang berharap agar lebih ramai pemohon berupaya mendapatkan pinjaman perumahan di bank dengan adanya kategori baharu tersebut.

Pada Januari 2014, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan tiga kategori RMM dan menyaksikan 12 projek perumahan mampu milik diumumkan membabitkan pembinaan 22,512 unit rumah selain 12,600 unit dari sektor swasta.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga giat membangunkan rumah kos rendah berharga RM42,000 bagi mereka yang berpendapatan isi rumah RM2,500 sebulan serta unit rumah kos sederhana rendah berharga RM72,500 bagi mereka berpendapatan isi rumah RM3,500.

}