P. Pinang pasang 50 lagi WiFi berkelajuan tinggi 3Mbps percuma

GEORGE TOWN – Sebanyak 50 lagi hotpsot WiFi berkelajuan tinggi dengan kepantasan 3Mbps dipasang secara percuma membabitkan beberapa lokasi strategik sekitar Komtar dan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, inisiatif terbaru itu diharap dapat mempercepatkan proses membawa Pulau Pinang kepada status bandaraya dan antarabangsa yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat.

“Objektif kami (Kerajaan Negeri), internet ini boleh diakses oleh semua orang pada bila-bila masa.

“Kami amat gembira apabila perkhidmatan WiFi secara percuma di tempat-tempat awam ini terus menjadi begitu popular, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Pulau Pinang, malah pelancong juga,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan berkaitan di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) turut sertai sidang media tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Bagi pihak syarikat pembekal, REDtone International Berhad (REDtone), Presiden dan Ketua Pegawai Perniagaan, Shaifubahrim Saleh serta Prabodh K. Sheth (Ketua Pegawai Kewangan) turut serta.

Terdahulu, terdapat 1,560 hotspot WiFi percuma dipasang secara berperingkat di bahagian pulau dan Seberang Perai sejak tahun 2009 hingga kini, dengan menerima kira-kira 600,000 pengguna berdaftar.

Pada Februari lalu, Guan Eng memberitahu bahawa jalur lebar sedia ada bakal dinaiktaraf dari 75Mbps kepada 375Mbps, dengan pengguna internet boleh menikmati kelajuan lebih cepat sehingga 1Mbps, berbanding 512Kbps dahulu.

Selepas Pulau Pinang  dikenali sebagai negeri pertama  menyediakan perkhidmatan WiFi secara percuma, kini dikenali sekali lagi sebagai negeri yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di tanah air ini.