WELIT buka ruang baharu buat pemimpin wanita dalam arena politik

Admin
img 8924

SERI DELIMA – Buat julung kalinya, Program Kepimpinan Wanita Elit Dalam Politik (WELIT) bakal diadakan bagi mengetengahkan perspektif gender, memperjuangkan dasar dan undang-undang yang lebih adil, empatik serta inklusif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata bahawa program tersebut dirangka khas bagi memperluas kapasiti dan daya kepimpinan wanita dalam arena politik tanah air.

img 8919 img 8929 116d8e04 f82e 49c7 9a51 bb0fab118179“Program ini memberi tumpuan kepada pemahaman dasar serta undang-undang melalui lensa gender, kemahiran penjenamaan diri, mediasi dalam pengurusan konflik, cara mendapatkan sokongan eksekutif serta menangani gangguan dan diskriminasi berasaskan gender.

“Hal ini adalah disebabkan oleh penyertaan wanita dalam politik Malaysia masih jauh daripada sasaran, buktinya, hanya terdapat 13.5 peratus wakil rakyat wanita di Parlimen manakala di Dewan Undangan Negeri (Pulau Pinang) hanya 10 peratus.

“Justeru, WELIT mengambil pendekatan holistik iaitu ‘Dari Pengetahuan ke Tindakan bagi menyemai kerentangan kolektif terhadap halangan sistematik yang menjadi penghalang kemajuan wanita,” ujarnya semasa sesi sidang media program berkenaan sebentar tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng; Ketua Bahagian Pemerkasaan dan Kepimpinan Wanita PWDC, S. Mangleswary dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Komuniti Literasi Pulau Pinang (PENITI).

Mengulas lanjut, Hooi Peng memaklumkan bahawa Program WELIT akan dibahagikan kepada dua fasa iaitu Bengkel Interaktif serta Pementoran dan Projek Komuniti.

“Bengkel interaktif akan dijalankan selama dua hari bermula 6 sehingga 7 Disember 2025 manakala bagi fasa kedua melibatkan empat minggu sesi pementoran dan dua bulan pelaksanaan projek komuniti di bawah bimbingan wakil rakyat negeri,” jelasnya lagi.

Pada sesi sama, Bee Leng turut menegaskan bahawa penganjuran WELIT juga adalah sejajar dengan visi Kerajaan Negeri untuk menjadi sebuah negeri yang benar-benar menerapkan prinsip inklusif gender.

“Saya percaya wanita bukan sekadar pengisi kuota, tetapi pembawa perubahan sebenar.

“WELIT merupakan langkah konkrit ke arah mencapai 30 peratus penyertaan wanita dalam politik yang mana ia bukan sekadar angka tetapi sebagai penanda kemajuan demokrasi, keadilan sosial dan kesaksamaan gender.

“Oleh itu, saya ingin menyeru lebih ramai ahli parti politik wanita, aktivis komuniti dan pemimpin komuniti untuk bersama-sama menyertai WELIT demi memastikan masa depan politik Malaysia yang inklusif dan seimbang,” serunya.

Difahamkan, yuran komitmen penyertaan adalah sebanyak RM200, untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran, peserta boleh mengimbas kod QR yang disediakan dan mendaftar melalui pautan Google Form sebelum 17 Oktober 2025.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 011-12843244, atau layari laman Facebook rasmi PWDC.

Teks dan Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL