WiFi percuma untuk semua, pertama di Malaysia

Admin
UPACARA perasmian di Bagan, Seberang Perai Utara.
UPACARA perasmian di Bagan, Seberang Perai Utara.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Sekali lagi, Pulau Pinang muncul sebagai negeri pertama dalam negara menyediakan kemudahan perkhidmatan peranti perhubungan tanpa wayar atau WiFi percuma kepada rakyatnya.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, penyediaan perkhidmatan WiFi percuma adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa.

“Tiga tahun lalu, idea ini (perkhidmatan WiFi percuma) telah diilhamkan bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang berpeluang untuk dihubungkan dengan informasi terkini secara percuma.

“Inisiatif ini adalah pertama di Malaysia, tidak pernah dilakukan di mana-mana negeri dengan matlamat menjadikan rakyat di negeri ini benar-benar pintar dan bermaklumat.

“Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan Pulau Pinang ke arah negeri bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja boleh bersaing di peringkat kebangsaan tetapi di persada global,” ujar Guan Eng dalam ucapan perasmian Jelajah WiFi Percuma Pulau Pinang Fasa 2 di sini baru-baru ini.

Sejumlah RM 8.5 juta telah dibelanjakan bagi menyediakan dan memasang 1,550 kawasan khas (hotspot) bagi seluruh negeri sejak tiga tahun lalu. Jumlah tersebut tidak termasuk 750 hotspot yang dipasang secara percuma pada Fasa 1 oleh syarikat penyedia perkhidmatan, REDtone International Berhad yang merupa komponen kepada inisiatif Wireless@Penang.

Sehingga April 2012, penggunaan ‘bandwidth’ adalah sehingga 45 megabait per saat (Mbps) dan akan dipertingkatkan sehingga 50Mbps seperti yang dinyatakan dalam perjanjian ditandatangani sebelum ini.

Kini, terdapat lebih daripada 200,000 pengguna berdaftar bagi perkhidmatan WiFi percuma. Daripada jumlah tersebut sejumlah 70% pengguna adalah berusia 30 tahun ke bawah.

KETUA Menteri meletakkan pelekat perkhidmatan WiFi percuma sambil diperhatikan barisan Exco dan ADUN Bagan Dalam di Medan Selera Terminal Bas Butterworth.
KETUA Menteri meletakkan pelekat perkhidmatan WiFi percuma sambil
diperhatikan barisan Exco dan ADUN Bagan Dalam di Medan Selera Terminal Bas
Butterworth.

Tambah Guan Eng, melalui kerjasama pelbagai pihak, Kerajaan Negeri telahpun melancarkan 750 hotspot lagi bagi Fasa 2.

Hotspot ini melibatkan kesemua 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan setiap kawasan dibekalkan sekurang-kurangnya 10 hotspot di kawasan tumpuan umum,” jelas beliau.