Peniaga jual tapak gerai dipantau

Admin
ONG Ah Teong (tengah) bersama Ahli Majlis MPPP, Lim Cheng Hoe (kiri) dan Lim Siew Khim (kanan) menunjukkan senarai peniaga yang diberikan tapak berniaga pada sidang media di sini baru-baru ini.
ONG Ah Teong (tengah) bersama Ahli Majlis
MPPP, Lim Cheng Hoe (kiri) dan Lim Siew Khim
(kanan) menunjukkan senarai peniaga yang
diberikan tapak berniaga pada sidang media di
sini baru-baru ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN Ekoran tindakan segolongan peniaga yang mengambil kesempatan menyewakan gerai atau tapak penjaja diperoleh (dari MPPP) kepada pihak ketiga, Pegawai Kesihatan Awam (PKA) Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bakal mengadakan lawatan serta pemeriksaan harian di lokasi-lokasi di sini bagi mengelakkan penularannya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong, kejadian tersebut dipercayai berlaku ekoran kadar sewa rendah antara RM30 hingga RM100 yang dikenakan MPPP bagi tapak kompleks makanan, tapak penjaja dan tapak penjaja sementara mengikut kategori yang ditetapkan.

“Mereka (peniaga) bukan sahaja menyewakannya kepada orang lain dengan harga lebih mahal, malah, ada segelintir yang sengaja membiarkan tapak tersebut kosong tanpa menjalankan sebarang perniagaan.

“Sebagai tindakan lanjut, pemantauan harian akan dijalankan dan sekiranya dikesan berhubung salah laku berkenaan termasuk mempunyai tunggakan tiga bulan sewaan, lesen yang diberikan akan ditarik balik atau dibatalkan,” ujarnya pada sidang media di Dewan Bandaraya Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pada tahun 2010, program pemutihan telah dijalankan terhadap masalah berbangkit tersebut.

“Program tersebut bertujuan memberi peluang kepada peniaga menjelaskan sewaan tertunggak dan berbincang dengan MPPP. Kini, kita (MPPP) akan lebih fokuskan kepada pemantauan secara serius agar perkara yang sama tidak berulang.

“Saya ingin menasihatkan kepada peniaga yang memohon, sekiranya mereka (peniaga) benar-benar tidak mampu menjalankan perniagaan, tapak atau gerai tersebut boleh diserahkan kembali kepada MPPP untuk dipertimbang serta diberikan kepada penjaja lebih layak,” ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara.