GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang hari ini mengadakan sesi taklimat pelantikan Peronda Lintasan Sekolah (PLS) baharu dalam usaha meningkatkan keselamatan dan mengurangkan kesesakan di kawasan sekolah.
Ahli Majlis MBPP, Koay Gaik Kee berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan program yang telah dijalankan lebih 30 tahun lalu, bagi membantu pelajar melintas jalan dengan selamat, terutama di sekolah-sekolah yang tidak mempunyai lampu isyarat lintasan pejalan kaki.
Peningkatan jumlah kenderaan ibu bapa dan penjaga telah menyebabkan kawasan sekolah semakin sesak dari semasa ke semasa.
“Oleh itu, penambahan bilangan PLS amat penting bagi mengawal lalu lintas semasa waktu persekolahan,” ujarnya pada sesi Taklimat Perdana Lantikan Peronda Lintasan Sekolah Bersama-sama PDRM dan JPNPP do Auditorium A, Komtar di sini pada 6 November 2025.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis dan Ketua Jabatan MBPP; Pegawai Kawalan Lalu Lintas Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Inspektor Haris Safuan Mohamad; Pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Barat Daya, Inspektor Mohd. Muzamir Abu Bakar dan Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid, JPN Pulau Pinang, Shukri Idris.
Mengulas lanjut, Gaik Kee menjelaskan bahawa Jawatankuasa Kecil Lalulintas (Kesesakan Kawasan Sekolah) yang ditubuhkan oleh MBPP sejak tahun 2012 memainkan peranan penting dalam menyelaraskan kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasaan MBPP bagi menangani isu berkenaan.
Jelasnya lagi, setakat hari ini, terdapat 42 PLS aktif di sekolah-sekolah sekitar Pulau Pinang dan pada sesi taklimat kali ini sebanyak 60 sekolah baharu telah mencalonkan PLS baharu yang terdiri daripada kakitangan sekolah sendiri.
“lElaun bagi setiap PLS adalah RM200 bagi satu sesi sebulan dan RM400 bagi dua sesi sebulan.
“Ini membuktikan komitmen berterusan MBPP untuk memperkasa skim ini dengan latihan kawalan lalu lintas daripada PDRM,” katanya.

Tambahnya lagi, langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan di kawasan sekolah tetapi juga seiring dengan usaha MBPP menuju ke arah “Bandar Mesra Kanak-kanak” yang menekankan persekitaran selamat, inklusif dan sejahtera untuk murid bersekolah, bermain dan membesar.
Pada sesi taklimat sama, Gaik Kee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Lalu Lintas (Kesesakan Kawasan Sekolah) turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk JPN, PDRM, jabatan-jabatan dalaman MBPP serta pihak sekolah atas kerjasama padu dalam menjayakan program berkenaan.
“Ingatlah, setiap langkah kita hari ini adalah pelaburan untuk masa depan anak-anak yang lebih selamat dan ceria,” katanya lagi.

Pada sesi taklimat sama, turut diadakan adalah latihan praktikal yang dibimbing oleh pegawai trafik dari IPD Timur Laut dan penyampaian sijil tauliah pelantikan PLS kepada sekolah-sekolah.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SIEW CHIA EN