YMA2U ketengah bakat anak muda tanpa sempadan

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sifat artis muda kini yang bijak meneroka, memanipulasi dan mengekspresikan ruang serta bahan untuk menghasilkan sesuatu merupakan intipati inspirasi serta ilham untuk menghasilkan karya yang lebih dinamik pada masa hadapan.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika merasmikan Young Malaysian Artis (YMA2U) New Object(ion) II di Lembaga Muzium & Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang, Jalan Macalister baru-baru ini di sini.

Kata beliau, semua pihak berhak mengkritik atau mentafsir setiap maksud mengikut pendapat serta pandangan masing-masing.

“Seni adalah sesuatu yang universal dan ianya adalah wadah kepada generasi muda untuk eksperisikan seni mereka tanpa sempadan.

“Justeru, sesiapa saja berhak mentafsir dan menilai setiap maksud yang tersirat di sebalik sesebuah seni itu,’’ ujar Kon Yeow.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Muzium & Balai Seni Lukis, Wong Hon Wai, Kurator Muzium Negeri, Haryani Mohamad dan Pengurus Galeri PETRONAS, Shuryati Datuk Shuaib.

Kira-kira 20 karya seni dihasilkan anak muda tempatan dibawakan khas oleh Galeri PETRONAS sempena pameran yang berlangsung sehingga 23 Mac ini.

Buat salah seorang penggiat seni, Shahariah Mohamed Roshdi yang mengeksperisikan seninya melalui elemen mikroorganisma dan fungus bertajuk, ‘Hargai sesuatu yang kecil’ menyatakan bahawa seni adalah sesuatu yang menjangkaui pemikiran manusia.

“Seni adalah universal dan tidak terjangkau dek pemikiran manusia.Ia boleh jadi apa-apa saja yang terlintas di fikiran masingmasing.

“Buat yang cintakan seni, kesabaran adalah elemen utama untuk menghasilkan sesuatu yang orang tak pernah terfikir,” ujar beliau.