GEORGE TOWN – Mantan Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang di Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Zairi Mat Ali mengangkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu.
Lafaz ikrar sumpah simpan rahsia disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ex-officio Kerajaan Negeri.
Difahamkan, pelantikan Zairi berkuat kuasa 19 Februari 2026 bagi menggantikan Dato’ Zabidah Safar yang telah dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-13.
Sebelum itu, Zairi melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri selama kira-kira 15 minit.
Dalam pertemuan itu, Kon Yeow mewakili pihak pentadbiran Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran Zairi dan menzahirkan ucapan tahniah di atas lantikan tersebut.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Zairi dapat meneruskan prestasi cemerlang dalam pengurusan kewangan negeri bagi mencapai sasaran kutipan hasil yang ditetapkan menjelang akhir tahun ini.
Zairi sebelum ini pernah menjawat jawatan Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Saraan Dan Pengurusan Kementerian Kewangan Malaysia dari tahun 2021 hingga 2023 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (2021 – 2023) sebelum ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Pulau Pinang.
Beliau yang merupakan pemegang Sarjana Sastera Dalam Pembangunan Antarabangsa di International Niigata University of Japan juga pernah menjawat jawatan Pengarah Bahagian Korporat & Penyelidikan, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Penyelaras Projek di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).





Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN