PERMATANG BERANGAN – Ditutup sejak bulan Oktober 2020 untuk kerja-kerja renovasi berwajib, kini Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP Tasek Gelugor yang dilengkapi dengan 12 unit mesin hemodialisis berteknologi terkini beroperasi semula serta berupaya menampung sehingga 60 orang pesakit.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid memberitahu bahawa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui Zakat MAINPP membelanjakan kira-kira RM1.42 juta untuk perbelanjaan modal sahaja bagi projek pengubahsuaian pusat hemodialisis tersebut.
Dengan kejayaan melaksanakan projek renovasi pusat hemodialisis di sini, beliau yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat berharap usaha tersebut dapat memperkasa program zakat kesihatan di negeri ini khususnya untuk komuniti terpilih sekitar kawasan Parlimen Tasek Gelugor.
“Pengoperasian semula pusat hemodialisis ini juga adalah bukti kukuh bahawa dana zakat yang diamanahkan DNA disumbangkan oleh para pembayar zakat di negeri Pulau Pinang diurus dengan penuh ketelusan dan memberikan impak yang sangat besar kepada golongan asnaf yang memerlukan,” jelasnya yang juga Yang Dipertua MAINPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.


Berucap sebelum pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Kairi Ghazalli memberitahu bahawa pusat hemodialisis zakat di Tasek Gelugor merupakan cawangan yang ketujuh kendalian Zakat MAINPP; yang ditubuhkan sejak tahun 2009.
Selama Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP Tasek Gelugor ditutup sementara sejak bulan Oktober 2020, beliau memberitahu bahawa seramai 44 orang pesakit telahpun dipindahkan ke cawangan lain di bawah kendalian Zakat MAINPP juga.
Mengulas lanjut, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Mohamad kerana banyak memberi sokongan pada kerja-kerja renovasi Pusat Hemodialisis Zakat MAINPP Tasek Gelugor di sini, sekali gus ke arah merealisasikan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2030 (APAI2030).
Mufti Kerajaan Negeri, Sohibus Samahah Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman dan Ahli Majlis MAINPP, Ramli Omar antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis tersebut sebentar tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD