SEBERANG JAYA – Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) melancarkan logo Rakan Muzakki bagi menggalakkan lebih ramai usahawan di negeri ini membayar zakat perniagaan.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, inisiatif tersebut adalah sebagai salah satu jalinan rakan sinergi dan juga strategi dalam konteks kerjasama antara Zakat MAINPP dengan syarikat yang membayar zakat yang bersama dapat membangunkan asnaf dan sosioekonomi umat Islam di negeri ini.
“Logo ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori gangsa (bayaran sehingga RM5,000), kategori perak (bayaran sehingga RM49,999) dan kategori emas (bayaran RM50,000 ke atas).
“Selain itu, kami juga menghargai pembayar zakat melalui pemberian sijil atau plak yang boleh dipamerkan di premis perniagaan masing-masing, umpama logo halal.
“Dengan adanya logo terbabit, ini menunjukkan perniagaan mereka diiktiraf daripada segi halal meliputi proses pembuatannya sekali gus menggalakkan peniaga lain untuk menunaikan zakat perniagaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran logo berkaitan dekat sini pada 17 Julai lalu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, Khairi Ghazali; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Dato’ Mohd. Sukki Othman serta ketua-ketua jabatan agensi terlibat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, logo berkenaan turut bakal menambahkan keyakinan masyarakat sebagai pembeli sekali gus akan meningkatkan keuntungan peniaga.
“Logi ini akan membuka mata kepada perniagaan lain untuk berganding bahu bersama-sama institusi zakat negeri dalam mencapai hasil kutipan yang lebih pada tahun ini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 30 syarikat menerima pengiktirafan dengan jumlah kutipan zakat perniagaan bernilai RM2.7 juta ringgit.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS