Zon Ekonomi Khas di Seberang Perai lebih praktikal – ADUN

Admin
00a1e839 c5a0 4a0f b3ff 51296560c315

GEORGE TOWN – Kewujudan Zon Ekonomi Khas atau  Special Economic Zone (SEZ) khususnya di kawasan Ampang Jajar, Seberang Perai dilihat sangat praktikal dalam memperkenalkan ekonomi baharu di Pulau Pinang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran, SEZ bukan sekadar projek pembangunan ekonomi, tetapi suatu strategi struktur jangka panjang untuk memastikan Pulau Pinang kekal berdaya saing sebagai kuasa ekonomi utama di ASEAN.

“Pada ketika negeri-negeri lain sedang memperkenalkan model ekonomi baharu, Pulau Pinang juga perlu bergerak seiring atau lebih pantas agar tidak kehilangan daya saing.

“Seberang Perai merupakan lokasi yang paling sesuai kerana mempunyai ketersediaan tanah yang lebih luas, kos operasi yang lebih kompetitif dan kedudukan strategik yang menyokong industri bernilai tinggi seperti perkhidmatan kewangan, teknologi digital, logistik moden, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

“Selain itu, Seberang Perai memiliki kelebihan logistik paling lengkap di utara Malaysia, dengan adanya pelabuhan, terminal kereta api dan kargo Butterworth, Penang Sentral sebagai hab integrasi pengangkutan, akses terus ke lebuh raya dan masa depan transit aliran ringan (LRT), Seberang Perai berada pada titik strategik untuk muncul sebagai Northern Logistics Financial Gateway negara,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di sini pada 17 November 2025.

Tambahnya, SEZ di Seberang Perai juga memainkan peranan penting untuk memastikan pembangunan negeri berlaku secara lebih seimbang antara pulau dan tanah besar.

“Oleh itu, SEZ turut mampu membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak-anak muda Seberang Perai, khususnya dari kawasan Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan kawasan berdekatan.

“Ia bukan hanya membuka kilang, tetapi menawarkan pekerjaan profesional dalam bidang fintech, automasi, penyelidikan, inovasi, dan ekonomi digital dan ini akan membawa perubahan struktur kepada taraf hidup rakyat di tanah besar,” jelasnya lagi.

Dalam ucapan sama, Kumaran turut memohon kepada Kerajaan Negeri bersama dengan Kerajaan Persekutuan memandang serius isu kesesakan lalu lintas di Tol Sungai Nyiur yang sering mengundang kemarahan rakyat.

“Kesan kepada rakyat amat besar, pekerja lewat ke tempat kerja, pelajar terpaksa keluar rumah lebih awal, peniaga mengalami kerugian dan kenderaan kecemasan turut tersekat dalam kesesakan,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN