ZPP terima zakat perniagaan berjumlah RM2.68 juta

Admin

PERAI – Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM2,683,320.05 daripada sembilan syarikat korporat di negeri ini.

Serahan zakat perniagaan didahului oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Nor Azman Zainal berjumlah RM124,249.47 bagi haul 2021 kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Lembaga ZPP, Dato’ Samsudin Bakar dalam majlis yang diadakan dekat sini pada 27 Jun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., Wan Ahmad Syatibi Wan Abd. Manan turut menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM130,000 bagi haul 2022, diikuti Ketua Jabatan Syariah, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd. Izuwa Mahyudin (RM144,942.61) haul 2021 dan Pengarah Eksekutif Mydin Iman Ikhlas Sdn. Bhd., Azmin Datuk Saduruddin (RM150,000) juga bagi haul 2021.

Amran Hazali.

Turut menyerahkan zakat perniagaan tersebut adalah FGV Plantations Malaysia Sdn. Bhd., yang diwakili oleh Regional Controller, Che Mohd. Hanazi Che Lah berjumlah RM221,628 bagi haul 2021; Penolong Pengurus Besar, Bahagian Rangkuman Kewangan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd. Izhar Pawancik (RM365,000) haul 2021 dan Pengurus Bahagian Pemasaran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Mohammad Fauzie Tamin (RM384,357.07) haul 2021.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Etiqa Takaful Berhad, Haslinda Omar juga menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM449,930 bagi haul 2021 manakala Ketua Pegawai operasi Uda Land North Sdn. Bhd., Zainudin Deni menyerahkan sejumlah RM713,212.90 bagi haul 2020.

Hadir menyaksikan penyerahan pembayaran zakat perniagaan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali dan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

Semasa berucap, Amran berkata ZPP terus bertahan melaksanakan fungsinya untuk berkhidmat menjaga amanah pembayar zakat dan membela hak golongan asnaf dengan penuh gigih dan prihatin.

“Tugas dan tanggungjawab Zakat Pulau Pinang ini dipermudahkan lagi dengan adanya ramai individu yang berhati mulia dan syarikat-syarikat korporat yang diberikan kelapangan dan keluasan rezeki oleh Allah untuk membayar zakat mereka.

“Oleh itu, ZPP dan pembayar zakat terus bekerjasama dan berazam untuk membantu golongan asnaf yang memerlukan terutama di waktu ujian ekonomi dan kesihatan yang suram akibat impak pandemik COVID-19.

“Inilah peranan yang perlu dilaksanakan oleh ZPP selaku amil zakat di Pulau Pinang iaitu menghubungkan pembayar (muzakki) dengan mustahik zakat (golongan penerima zakat),” katanya.

Tambahnya lagi, selaras peralihan endemik pasca krisis pandemik COVID-19 ini, ZPP bertindak memposisikan strategi pemerkasaan asnaf melalui pelbagai program agihan yang produktif.

“Antara yang dilakukan ZPP untuk memperkasakan asnaf adalah dengan pembangunan skim agihan yang lebih efektif yang bermatlamat menambah pendapatan asnaf dan seterusnya dapat menukar mustahiq kepada muzakki.

“Di samping itu, ZPP juga meluaskan pengagihan dana zakat produktif melalui program-program pemerkasaan pendidikan asnaf menerusi rangkaian kerjasama bersama rakan-rakan strategik.

“Malah, komitmen Zakat PP terhadap agenda pemerkasaan asnaf ini disokong juga melalui pengomptimuman pengurusan zakat secara digital segmen agihan dan bantuan zakat.

“Dengan kaedah sedemikian, ZPP menyasarkan bantuan zakat dapat diagih dengan lebih efektif dan efisien agar dapat membangunkan taraf hidup dan juga ekonomi golongan asnaf di negeri Pulau Pinang di masa hadapan,” ulasnya lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS