PERAI – Zurhan bin Bakar atau nama penanya Zurhan Bakar, 64, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Pulau Pinang Ke-2 Tahun 2025.
Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Longdan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari, menyampaikan anugerah tersebut.
Turut menyaksikan acara berprestij itu ialah isteri TYT, Yang Mulia Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

Dilahirkan pada 18 November 1961, Zurhan Bakar merupakan seorang pesara guru yang kini aktif sebagai penulis sepenuh masa serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP).
Berkecimpung dalam dunia penulisan sejak tahun 1983, antara karya beliau yang telah diterbitkan adalah Kumpulan Cerpen Remaja Senja Seorang Patriot (Oxford Fajar, 2014); Novel Remaja Bahasa Inggeris Misadventures of a Computer Geek (Oxford Fajar, 2014); Kumpulan Cerita Kanak-Kanak Kenapa Enggang Sembunyi? (Buku Prima, 2015); Novel Kanak-Kanak Kami Regu Malaysia? (ITBM, 2020) dan Kumpulan Cerpen Perjalanan Pulang (SYFE Management, 2021).
Sebagai menerima anugerah paling utama pada malam ini, beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM15,000 serta sijil pengiktirafan daripada pihak penganjur, iaitu Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Perpustakaan Negeri Pulau Pinang (PPBPP) dan DBP.

Berucap sebelum itu, Zulkifli memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited memperkukuh martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Penganjuran Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang ini menjadi bukti bahawa kerajaan negeri terus mengangkat bahasa dan sastera Melayu sebagai wahana ilmu, jiwa bangsa, dan lambang perpaduan rakyat.
“Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi bahasa maruah dan kedaulatan negara,” jelasnya dalam majlis anugerah yang berlangsung di Hotel Crowne Plaza, di sini pada 9 November 2025.
Selain Zurhan, ahli akademik Prof. Emeritus Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar, 79, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Persuratan Negeri Pulau Pinang, manakala penulis muda Muhammad Afif Zulhusni Azhar, 27, pula menerima Anugerah Penulis Harapan Negeri Pulau Pinang.
Sempena penganjuran anugerah dwi tahunan kali ini, seramai 13 penerima turut menerima Hadiah Sastera bagi tiga kategori, iaitu Buku Sastera Dewasa, Karya Eceran, serta Buku Sastera Kanak-kanak dan Remaja.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN