100 motosikal dapat servis percuma minyak pelincir

SERVIS PERCUMA… Seramai 100 penunggang motosikal sekitar kawasan Bukit Gedung menikmati servis tukar minyak pelincir percuma hasil kemurahan hati wakil rakyatnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, inisiatif servis percuma tukar minyak pelincir itu dikhaskan kepada penunggang motosikal di bawah 250cc.

Menurut beliau, program tersebut bertujuan membantu golongan penunggang motosikal dengan meringankan sedikit beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Tambahan pula, motosikal merupakan medium pengangkutan utama rakyat marhaen di kawasan ini yang rata-ratanya bekerja di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini baru-baru ini.

Pemberian servis percuma minyak pelincir tersebut turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Gedung dan belia di kawasan Bukit Gedung.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti sesi Mesra Anak Muda serta cabutan bertuah.