3,000 sertai Glo-Walk edisi kedua

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD.DAUD

KEBUN BUNGA – Kira-kira 3,000 peserta menyertai acara berjalan kaki pada waktu malam, Glo-Walk yang kini memasuki edisi kedua setelah penganjuran kali pertama tahun lalu mendapat sambutan memberangsangkan.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng yang hadir menyempurnakan pelepasan peserta berkata, acara berjalan kaki berkaitan wajar dijadikan acara tahunan ke arah membentuk masyarakat yang sihat.

“Acara berjalan kaki secara santai seperti ini juga mampu menjadi pengikat silaturahim sesama peserta yang mungkin datang dari luar Pulau Pinang, selain melahirkan masyarakat sihat sebagaimana disarankan Ketua Menteri,” ucapnya pada acara berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Dr. Khong Yoon Leong.

Pada acara tersebut, para peserta berjalan kaki sejauh lima kilometer bermula dari Taman Bandaraya ke Taman Botani sambil mengenakan celoreng warna pemantul cahaya dalam gelap (glow in the dark).

Turut menarik perhatian adalah tarian zumba, mengecat muka, mural, meneropong sistem solar dan pelbagai lagi.

Bertemakan Walk In The Park, Glo-Walk dianjurkan oleh Tech Dome Penang dan disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis
Sukan Negeri (MSN) dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang serta mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Penang Amateur Athletic Association (PAAA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), St. John’s Ambulance dan Active Style Concept.

Difahamkan, penyertaan bagi acara tersebut adalah berdasarkan yuran secara derma serendah RM20 bagi setiap individu atau RM5,000 hingga RM10,000 bagi sesebuah organisasi yang menghantar penyertaan sebanyak 50 hingga 100 peserta.

Hasil kutipan derma akan disalurkan bagi tujuan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik anjuran Tech Dome Penang