Atlet wushu wanita mulakan kutipan emas kontinjen Pulau Pinang

IPOH – Atlet wushu wanita, Chan Lu Yi berjaya meniupkan semangat kontinjen Pulau Pinang apabila meraih pingat emas dalam acara taujiquan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak, hari ini. 

Lu Yi yang beraksi sebagai peserta ketiga unggul mempertahankan pungutan mata 9.52 tanpa digugat sehingga persembahan peserta terakhir. 

Beliau yang ditemui di Dewan Matrikulasi Gopeng menzahirkan rasa gembira dapat menghadiahkan emas pertama buat kontinjen negeri. 

“Saya amat gembira kerana menjadi atlet pertama menyumbangkan emas untuk kontinjen Pulau Pinang dan saya harap atlet lain juga dapat menyumbang emas untuk mengharumkan nama negeri,” ujar atlet berusia 21 tahun yang kini menuntut dalam bidang perubatan di sebuah universiti swasta dekat ibu negara.

Seorang lagi atlet wushu wanita, Aggie Cheah Ruey Shin menambah emas kedua bagi kategori cangquan selepas mengenepikan 17 cabaran peserta lain dengan pungutan mata 9.62 sekaligus mengubati kekecewaan semalam selepas gagal mendapat pingat. 

“Saya juga gembira dapat menyumbangkan pingat untuk Pulau Pinang namun dari segi persembahan saya masih belum berpuas hati. Kini saya akan fokus kepada persediaan untuk pemilihan Sukan SEA yang akan diadakan di Filipina tahun depan,” jelas atlet kebangsaan yang menceburi wushu sejak berusia 11 tahun itu.

Manakala,  atlet wushu lelaki, Chuah ShangYang hanya mampu berpuas hati di tempat kedua bagi acara Nandao dan ketiga bagi acara Nanquan untuk  pingat perak gangsa.

Antara aksi kontinjen Pulau Pinang yang turut mencuri tumpuan hari ini adalah acara judo dengan membawa pulang satu perak dan gangsa (2). 

Pingat perak dimenangi  Chan Por Hao bagi kategori 73 kilogram (kg) dan dua gangsa masing-masing milik Nur Dania Rosaini bagi judo wanita (63kg) dan Leon Cheah Jun Xian Hong, (judo wanita, (60kg).

Hadi sama, Timbalan Chef De Mission Kontinjen Pulau Pinang, Cheah Ban Cheang dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Frederick Tan Teck An.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI 

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD