Digital Penang, Yachiyo Engineering perkasa inovasi infrastruktur sosial

tkm1023a

GEORGE TOWN – Digital Penang dan Yachiyo Engineering hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka penyelesaian inovatif untuk memperkukuh infrastruktur sosial dan perkhidmatan awam di Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, inisiatif itu menghubungkan kepakaran kejuruteraan Jepun dengan agensi kerajaan, pemain industri dan syarikat pemula teknologi tempatan menerusi konsep Pulau Pinang sebagai Living Lab (makmal hidup).

“Pendekatan ini membolehkan penyelesaian diuji berdasarkan cabaran sebenar di lapangan sebelum diperluas pelaksanaannya.

“Keutamaan kita adalah memastikan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang seiring dengan perkembangan ekonomi negeri, melalui penambahbaikan sistem perkhidmatan awam, pengurusan banjir, bekalan air bersih, mobiliti bandar dan keselamatan awam.

“Pendekatan ini juga membolehkan agensi kerajaan menerapkan piawaian kejuruteraan yang tinggi bagi menangani cabaran komuniti serta menghasilkan impak sosial yang berkekalan,” ujarnya.

tkm1023b

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara Digital Penang dengan Yachiyo Engineering Co. Ltd. di Komtar di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ts. Ng Kwang Ming; dan Pemangku Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Hideyuki Yazama.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, inisiatif itu merangkumi empat bidang utama, iaitu sistem air dan perlindungan alam sekitar, operasi bandar pintar dan mobiliti, transformasi hijau dan daya tahan tenaga serta daya tahan struktur dan komuniti.

Tambahnya, penglibatan syarikat tempatan turut membuka peluang untuk membangunkan dan melaksanakan penyelesaian teknologi bersama rakan Jepun, sekali gus memperkukuh keupayaan industri negeri.

“Saya menggalakkan perusahaan tempatan mengambil bahagian secara aktif, mengemukakan idea serta memanfaatkan peluang ini untuk membina hubungan strategik jangka panjang,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah.

Menurut Zairil, Yachiyo Engineering mempunyai pengalaman lebih 60 tahun dalam pembangunan infrastruktur sosial di lebih 150 negara, manakala hubungan yang terjalin menerusi Program Perkongsian Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) menyediakan asas bagi perkongsian ilmu dan pengukuhan keupayaan tempatan.

“Inisiatif ini turut menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital Pulau Pinang melalui penerapan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan awam, selain selari dengan Visi Penang2030 untuk menjadikan negeri ini pintar, hijau dan berfokuskan keluarga.

“Saya berharap pelaksanaannya memberikan penekanan kepada keperluan awam yang jelas, penyertaan aktif rakan tempatan dan manfaat yang boleh diukur kepada masyarakat.

“Nilai sebenar inisiatif ini akan dinilai berdasarkan penambahbaikan yang dibawanya kepada kehidupan seharian rakyat Pulau Pinang,” katanya.

 

Gambar: TAN KEAN MING