Ayuh sertai ‘Earth Hour Night Walk 2015’ – Exco

Oleh: A INU L WA RDAH SOHILLI
Gambar: SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Bermula tahun 2009, Pulau Pinang tidak pernah ketinggalan menyertai kempen kesedaran pemuliharaan bumi dan penjimatan tenaga, Earth Hour yang turut disambut hampir 7,000 bandaraya melibatkan 162 buah negara di seluruh dunia.

Tahun ini, penganjuran program bakal dimeriahkan dengan acara ‘Earth Hour Night Walk 2015’ hasil kerjasama bersama Kerajaan Negeri, World Wide Fund for Nature -Malaysia (WWF – Malaysia),Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Penang Amateur Athletic Association (PAAA) dan pusat membeli-belah 1st Avenue di sini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, acara ‘Earth Hour Night Walk 2015’ diteruskan setelah mendapat sambutan memberangsangkan tahun lalu.

“Tahun 2014, kita berjaya mengumpulkan lebih 2,000 peserta untuk berjalan melawati beberapa ikon warisan di George Town walaupun dalam keadaan hujan.

“Bagi tahun 2015, saya harap lebih ramai lagi dapat menyertai acara ini kerana ia menunjukkan sokongan kita terhadap inisiatif murni demi generasi akan datang,” katanya pada sidang media pengumuman program Earth Hour
di sini baru-baru ini.

Selain itu, Kon Yeow memberitahu, sambutan Earth Hour adalah penting untuk menyedarkan masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup lestari bagi mengelak malapetaka akibat kerakusan manusia.

Malah, jelasnya, ia juga selaras dengan fokus Kerajaan Negeri ke arah sebuah negeri yang mampan dengan mendokong semangat Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Oleh itu, ayuh beramai-ramai sertai acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer ini yang dijadualkan pada 28 Mac 2015, hari Sabtu bermula jam 8.30 malam sebagai tanda sokongan kita terhadap bumi,” seru beliau.

Turut sama, Ketua Polisi Perubahan Cuaca WWF-Malaysia, Lavanya Rama Iyer, Pengurus Besar Bahagian Pemasaran 1st Avenue Mall, Yeap Chong Wei dan wakilwakil penganjur ‘Earth Hour Night Walk 2015’.

Orang ramai yang berminat boleh mendaftarkan diri melalui laman sesawang, www.pandashop.my/earthhour2015.

Yuran sebanyak RM60 dikenakan untuk setiap pernyertaan dan peserta akan diberikan sehelai kemeja-t edisi khas ‘Earth Hour 2015’, pelekat kenderaan, sijil penyertaan elektronik dan baucar diskaun 10 peratus di Pandashop.my.