Sewakan unit kediaman, langgar syarat nyata

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menasihatkan para pemilik rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik di negeri ini supaya tidak menyewakan kediaman dimiliki bagi mengelak berdepan dengan risiko penguatkuasaan di sini.

Menurut beliau, hal berkenaan secara terang-terangan melanggar syarat-syarat nyata yang dinyatakan di dalam Borang PN1.

Jagdeep memberitahu, tujuan utama pemilikan unit-unit tersebut adalah untuk mereka yang benar-benar memerlukan dan tidak boleh disewa selaras dengan rasional dasar perumahan kepada yang layak.

“Saya melihat perkara ini dengan serius.

“Senarai menunggu di Jabatan Perumahan Pulau Pinang untuk rumah kos rendah (RKR) dan kos sederhana rendah (KSR) semakin meningkat iaitu masing-masing berjumlah 25,065 dan 24,283 pemohon sehingga tarikh 10 November 2014.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan akan dilakukan terhadap mereka yang secara terang-terangan menyewakan unit-unit ini setelah perbincangan akhir dengan Penasihat Undang-undang Negeri dicapai,” tegasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, dua wakil dari Institut Ejen Hartanah Malaysia Cawangan Pulau Pinang.

Ketika ditanya berhubung tindakan penguatkuasaan yang bakal diambil, Jagdeep memberitahu bahawa ia termasuk penamatan penyewaan dan pemilikan semula unit oleh kerajaan.

Susulan itu, Jagdeep menyatakan bahawa Institut Ejen Hartanah Malaysia Cawangan Pulau Pinang turut bersetuju membantu Kerajaan Negeri menangani isu berkenaan, iaitu dengan mengarahkan ejen-ejen berdaftar agar tidak mengiklankan sewaan unit yang telah disahkan Jabatan Perumahan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, tambah beliau, demi memenuhi permintaan pemohon yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) merancang membangunkan 12 projek meliputi 22,545 unit di seluruh Pulau Pinang.

“Sebanyak 12 projek bakal menyediakan sejumlah 850 unit kos rendah, sederhana rendah (7,874) dan mampu milik (13,851).

“Manakala, sektor swasta melalui perkongsian awam-swasta ditetapkan menyediakan amaun yang sepadan atau melebihi jumlah ini,” jelas Jagdeep.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);