Baik pulih flat demi rakyat

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL – Jagdeep Singh Deo baru-baru ini menyerahkan kembali kunci rumah Blok 5 Mak Mandin 1 di sini kepada 33 keluarga selepas kerja – kerja membaikpulih struktur fizikal bangunan tersebut yang mene lan belanja RM695,691.92 peruntukan Kerajaan Negeri siap.

Malah, Jagdeep yang merupakan Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan turut bersetuju meluluskan permohonan peruntukan sehingga RM90,000 untuk tujuan mengecat semula flat rumah kos rendah tersebut, sebagaimana diminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng pada majlis sama.

“Jumlah pembaikan ini telah ditanggung Kerajaan Negeri yang mementingkan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat pada sesi lawatan khas ke kawasan flat berkenaan di sini baru-baru ini.

Menurut Jagdeep, Bahagian Perumahan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) memulakan kerja-kerja pembaikan keretakan dan lain pada Oktober 2013 dan siap sepenuhnya pada 4 Jun lepas.

Selama tempoh itu, jelas Jagdeep, Kerajaan Negeri memperuntukkan elaun perpindahan sebanyak RM1,000 kepada 33 keluarga berkenaan, di mana RM500 untuk elaun perpindahan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar dan baki RM500 lagi dituntut apabila mereka kembali ke flat Mak Mandin kelak.

Mereka, katanya lagi, terdiri daripada 14 keluarga Melayu, Cina (15) dan India (4).

“Cuma, saya minta lima keluarga lagi datang ke Bahagian Perumahan untuk menuntut baki elaun (RM500) sesegera mungkin.

“Kerjasama yang diberikan oleh 33 keluarga terbabit untuk berpindah ke PPR Ampang Jajar dan kembali ke sini amat dihargai, saya harap ia menjadi ikutan kepada penduduk lain yang akan mengikuti projek membaikpulih kelak,” kata beliau.

Justeru, Jagdeep berharap semua penduduk berwajib dapat membayar yuran penyelenggaraan seperti biasa mengikut jadual yang dipersetujui, selain memelihara flat berkenaan supaya kelihatan bersih serta jauh dari aktiviti vandalisme.

Dalam pada itu, salah seorang penduduk, Amirudin Kasha, 62, yang ditemui melahirkan rasa gembira atas inisiatif Kerajaan Negeri  membaikpulih kawasan kediaman mereka, yang kini berusia lebih 20 tahun tersebut.

“Sebelum ini, memang banyak masalah seperti saluran pembentungan tersumbat, lampu di koridor tidak berfungsi, keretakan (pada struktur
bangunan) dan flat rosak.

“Tetapi, semua ini sudah dibaiki sekarang…tentulah saya sekeluarga seronok kerana boleh kembali ke rumah kami semula,” ujar Amirudin, yang merupakan pesara kontraktor pembersihan.