Beramal dalam Larian Warna-warni P. Pinang

Admin

LARI & BERAMAL … Larian Warna-warni Pulau Pinang yang julung kali diadakan di sini bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai erti kata penderaan dan budaya beramal.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, penganjuran tersebut adalah membabitkan larian meliputi jarak lima kilometer (km) pada 7 Disember ini.

“Program tersebut adalah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Caring Home Centre dan Persatuan Mencegah Mangsa Dera.

“Sebahagian kutipan daripada penganjuran program ini akan disalurkan kepada kedua-dua pertubuhan berkenaan,’’ katanya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Acara tersebut bakal bermula di Padang Polo dan para peserta perlu berlari melalui Jalan Sepoy Line menuju ke Taman Perbandaran sebelum berpatah balik di lokasi permulaan.

Yuran penyertaan adalah bernilai RM50 yang juga melayakkan seseorang peserta menyertai acara cabutan bertuah dengan tawaran hadiah menarik seperti basikal bukit dan basikal lipat.

Pendaftaran boleh dibuat terus secara talian di www.mysport2u.com.my atau hubungi 016 – 405 2972.