Hayati Ramadan sebelum capai kemenangan – Malik

Admin

SUMBANGAN… Seramai 100 golongan kurang bernasib baik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung menerima bantuan khas Aidilfitri berupa barangan keperluan harian sempena majlis berbuka puasa di Masjid Jamek Permatang Damar Laut di sini baru-baru ini.

Tambah bermakna, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin. Majlis dihadiri lebih 300 pengunjung tersebut turut diserikan dengan tazkirah oleh Ustaz Mutalib Maaruf dari Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau mengajak umat Islam yang hadir pada majlis tersebut supaya bersama-sama meningkatkan amal ibadat di bulan Ramadan sebelum berjaya mengecapi kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri kelak.

“Ini kerana, bulan Ramadan sangatlah istimewa bagi umat Islam, tambahan pula pada dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatulqadar,’’ katanya di sini baru-baru ini.