Dakwah non-Muslim guna NGO – Nur Azley Stanley

BELIAU mengisi senarai penerima Anugerah Tokoh Saudara Baru Sempena Sambutan Maal Hijrah 1436H/2014 Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Tokoh yang dimaksudkan Azley Stanley (AS) atau nama sebenarnya Muhammad Nur Azley Stanley Muhammad Savarimuthu, 43, merupakan Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan NGO dakwah I.K.U.T. mewakili Suara 10,000 Reverts Pulau Pinang (myIKUT).

Ikuti wawancara wartawan Buletin Mutiara (BM) , ZAINULFAQAR YAACOB dengan personaliti berkenaan.

BM: Apakah perasaan Tuan selepas dipilih menerima anugerah kali ini?

AS: Semestinya rasa sangat terharu apabila mendapat anugerah dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. Kadang-kadang berasa macam tidak layak, tetapi, saya menganggap ini ‘hadiah’ daripada Allah, yang sudah tentu datang dengan tanggungjawab yang lebih besar lagi.

BM: Bolehkah saudara berkongsi serba sedikit mengenai pengalaman dakwah membabitkan bukan Islam atau non-Malay?

AS: Saya sendiri seorang non- Muslim untuk 23 tahun sebelum memeluk Islam. Sesudah mengenali Islam, saya berasa sedih kerana ramai lagi daripada kalangan adik-beradik dan kenalan terdekat masih belum mengenai Allah.

Berdakwah, ertinya perlu berinteraksi, dialog, saling empati dengan rakan-rakan. Sebarkan Islam sebagai agama yang mementingkan kasih sayang walaupun kita semua mungkin berbeza warna kulit dan agama.

Alhamdulillah, abang kedua saya, Winston Kumar (kini dikenali sebagai Abdul Wahab Winston) peluk Islam lebih awal pada tahun 1990 dan saya peluk Islam empat tahun berikutnya. Ibu dan ayah saya, Rosalind Sronmani, 74 tahun atau nama Islamnya, Siti Rosalind dan Savarimuthu atau nama Islamnya Muhammad Savarimuthu peluk Islam pada tahun 2010.

Bagi saya, non-Muslim sudah tahu tentang Islam, tinggal kita yang (beragama) Islam tidak tahu kaedah untuk berkongsi kasih sayang mengenai Islam untuk seluruh manusia di tanah air ini.

BM: Bagaimana pula pengalaman dakwah menerusi NGO myIKUT?

AS: myIKUT ini (akronim) bermaksud “Infaq Kebajikan Ummah Takaful”. Terus terang saya katakan yang saya kurang menghadapi kesukaran dengan non-Muslim melalui platform myIKUT ini, tetapi ada beberapa cabaran kecil daripada orang Islam sendiri, sama ada dari rakan sepejabat hingga ilmuan agama.

Masyarakat lebih mudah menerima program berorientasikan perkongsian kerana myIKUT adalah NGO.

Fokus myIKUT adalah berkongsi pengetahuan mengenai Allah dengan non-Muslim dan menyeru umat Islam melakukan kerja buat dakwah Nabi Muhammad S.A.W. Alhamdulillah, hampir 30 masjid kini menjadi ‘Rakan myIKUT’.

Saudara baru kita rata-rata ada banyak komitmen daripada segi kerja serta cabaran untuk menyesuaikan diri dengan Islam.

Oleh kerana Islam agama mudah, maka kita permudahkan urusan saudara baru melalui projek Home Kuliah, dengan tenaga pakar secara sukarela daripada kalangan guru-guru JQAF sendiri.

Terbaru, myIKUT turut mengadakan hubungan diplomatik dengan kumpulan saudara baru di Yala, Thailand untuk kita belajar mengenai pergerakan sivil mereka di sana.

Jika dibandingkan dengan kita, kehidupan saudara baru di sana lebih daif, serta ada yang dibuang keluarga dan dizalimi.

Di tanah air ini pun, banyak kita dengar kes seumpama ini.

Sebenarnya, saudara baru wajar dilihat the chosen one dan kehadiran mereka tidak wajar dilihat seolah-olah menyusahkan pihak tertentu, khususnya dalam kalangan segelintir ilmuan Islam.

BM: Bagaimana Tuan melihat Pulau Pinang ini sendiri untuk aktiviti NGO dakwah kepada bukan Islam?

AS: Sebenarnya umat Islam, segelintirnya gagal memahami pengalaman yang dilalui oleh saudara baru. Segelintir umat Islam mengharap apabila seseorang itu memeluk Islam, mereka tidak memberi masalah pada kita.

Namun, pada hakikatnya seseorang yang memeluk Islam pula mengharapkan kehidupannya akan bertambah baik. Maka, sudah tentu saudara baru inipun akan mengharap pada kita perkara serupa.

Kita perlu ingat, jika tak ada saudara baru, maka, tak ada lah (mengucap dua kalimah syahadah). Apabila tak ada syahadah, maka, ‘mati’ lah usaha dakwah.

Di Pulau Pinang istimewa kerana begitu banyak NGO dakwah yang proaktif. myIKUT sendiri hingga kini masih banyak menimba pengalaman daripada banyak NGO dakwah yang hebat di negeri ini.

Lebih menarik, Exco Hal Ehwal Agama Islam (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Datuk Abdul Malik Abul Kassim turut memberi sokongan langsung kepada pergerakan NGO dakwah sejak awal tahun ini.

Pejabat Exco Hal Ehwal Agama Islam benar-benar membantu kerja dakwah yang kritikal serta berusaha memudahkan sesuatu perancangan yang hampir tergendala. Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Khas untuk menangani masalah dalam kalangan saudara baru.

Masjid Cina Titi Papan adalah inisiatif YB Datuk Abdul Malik dengan melantik 50 peratus ahli jawatankuasanya terdiri daripada saudara baru.

Usaha ini impl isi tnya memperlihatkan kemampuan saudara baru menguruskan masjid ini sebelum cadangan membina sebuah Masjid Cina dengan senibina Cina nanti.

BM: Apa harapan Tuan?

AS: Iklim kebebasan beragama di Pulau Pinang bagi saya adalah kekuatan untuk NGO myIKUT bergerak. Saya berharap, Islam boleh menjadi agama kasih sayang untuk penganutnya, serta mereka yang mempunyai perasaan untuk lebih mengenai Allah sebagai Tuhan Seluruh Alam.

Saya berharap lebih ramai aktivis dakwah dan NGO dakwah boleh duduk semeja menguruskan matlamat bersama ini serta memberi sokongan pada perjalanan penubuhan Majlis Dakwah Negeri yang sedang diusahakan kini.